AS Berani Serang Korea Utara?

Laporan terakhir ketika rencana ini ditulis ialah Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Korea Utara bahawa akan ada konflik besar. Suasana sedang bertambah tegang tetapi Trump berkata pihaknya masih berusaha mencari penyelesaian diplomatik dengan China supaya memujuk Kim Jong-un, pemimpin Korea Utara.

Sama ada Trump akan melakukan serangan atau tidak masih tidak dapat dijangka. Beliau telah mengebom Syria dan Afghanistan tetapi itu tidak bererti presiden itu akan melakukan serangan ke atas Korea Utara.

Mengapakah Amerika Syarikat tidak berani serang Korea Utara? Keberanian sesebuah negara untuk menyerang pihak yang lain bergantung pada kepercayaannya bahawa ia akan dapat mencapai matlamat tertentu dengan tindakannya itu.

Jadi jika Amerika tidak berani menyerang Korea Utara, itu bermakna tidak ada kepercayaan bahawa tindakan seumpamanya dapat mencapat matlamat yang telah difikirkan.

Tetapi apakah matlamat yang ditentukannya itu? Terdapat lima jenis matlamat Amerika terhadap Korea Utara. Pertama, paling baik ialah menyatukan Korea Utara dengan Korea Selatan di bawah satu Republik Korea. Seperti Jerman.

Kedua, Korea Utara berubah sistem pemerintahannya kepada demokrasi liberal seperti Korea Selatan tetapi mengekalkan kedaulatan negara. Maknanya Korea Utara tidak lagi menjadi sebuah negara komunis.

Ketiga, Korea Utara mengekalkan pemerintahan politik komunis yang ada tetapi mengubah sistem ekonominya kepada yang berbentuk pasaran. Iaitu sistem Korea Utara mengikut contoh China dan Vietnam.

Keempat, Korea Utara mengekalkan sistem yang ada tetapi kepimpinannya bertukar. Maksudnya Parti Pekerja Korea masih berkuasa, cuma bukan lagi Kim Jong-un tetapi pemimpin lain yang tidak agresif dan menghentikan sebarang hasrat penggunaan senjata nuklear.

Kelima, paling lemah ialah Kim Jong-un masih berkuasa tetapi ia menghentikan sebarang ujian senjata nuklear. Jadi adakah mana-mana rancangan serangan Amerika boleh mencapai salah satu matlamat ini?

Maka jika diambil matlamat kelima itu, adakah dengan melancarkan serangan ke atas Korea Utara, ia boleh mengubah fikiran Kim Jong-un untuk mengubah sikap dengan menghentikan segala ujian senjata nuklear?

Tidak ada kepastian bahawa Kim Jong-un boleh berubah fikiran jika serangan berlaku. Sebaliknya serangan itu mendatangkan kesan lain yang boleh menimbulkan masalah besar. Paling ketara adalah serangan balas Korea Utara ke atas Korea Selatan dan Jepun. Serangan itu juga akan menimbulkan bantahan oleh China dan Rusia. Selain itu, kesan dalam bentuk reaksi global juga adalah besar.

Kesemua itu mungkin merupakan pertimbangan konvensional daripada pihak pemerhati geopolitik yang mengambil kira politik antarabangsa, ketenteraan dan diplomasi. Tetapi Presiden Trump yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang-bidang itu mungkin bertindak tidak secara konvensional. Beliau mempunyai kepercayaan dan sikap tertentu terhadap politik antarabangsa. Baginya Amerika adalah negara paling hebat di dunia. Semua negara mesti tunduk pada Amerika termasuk Korea Utara. Antara perkara yang menjadikan Amerika hebat ialah kekuatan tenteranya. Maka ada kemungkinan Trump mengambil risiko dan melaksakan serangan ke atas Korea Utara.

Secara rasminya Perang Korea belum tamat. Perdamaian yang ada ini hanyalah gencatan senjata yang ditandatangani pada tahun 1953 di antara Beijing dan Washington dengan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jika Trump melancarkan serangan, Amerika melanggar perjanjian itu.

Jika perjanjian itu dilanggar dan terbatal, maka Perang Korea boleh diteruskan semula antara Korea Utara dengan Korea Selatan. China akan membantu Korea Utara. Ini kerana Republik Rakyat China dan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) telah menandatangani perjanjian bantuan bersama pada tahun 1961. Kedua-dua Beijing dan Pyongyang masih merupakan pemerintahan komunis walaupun sistem ekonomi mereka berbeza.

Geopolitik

Tetapi pada tahun 1953 dan 1961, Perang Dingin berlaku. Ia merupakan konflik antara dunia Barat dan Timur. Ia adalah satu perang dunia, walaupun bersifat dingin kerana berbentuk proksi. Dunia Barat dipimpin oleh Amerika, dan Timur diketuai Soviet Union.

Jadi Perang Korea adalah perang proksi pertama Perang Dingin. Perang Dingin bermula pada tahun 1947 iaitu sebaik-baik saja Perang Dunia Kedua berakhir. Ia dianggap sebagai lanjutan kepada Perang Dunia Kedua. Dengan serta-merta Semenanjung Korea menjadi medan Perang Dingin. Soviet Union menguasai bahagian utara dan Amerika bahagian selatan. Komunis Korea menubuhkan kerajaan di Pyongyang sementara pihak antikomunis Korea wujudkan kerajaan di Seoul. Soviet dan Amerika pun lepaskan Korea.

Perang Korea bermula dari tahun 1950 hingga gencatan senjata pada tahun 1953. Mula-mula Korea Utara dapat menakluk Seoul dan Korea Selatan. Ibu negara Korea Selatan berpindah sementara ke Busan. Kemudian Korea Selatan dibantu oleh pasukan PBB pimpinan Amerika menolak kembali Korea Utara dan dapat mengambil semula Seoul. Dengan bantuan tentera China Komunis, Korea Utara menyerang lagi Korea Selatan dan menawan semula Seoul. Ketika itu Beijing tidak menganggotai PBB. Kerusi China di PBB dipegang oleh Taipei. Kemudian dengan bantuan tentera Amerika, Korea Selatan menawan semula Seoul dan gencatan senjata dipersetujui tanpa menamatkan peperangan.

Kini Perang Dingin sudah berakhir. Dunia Timur jika masih disebut demikian tinggal lima negara saja. Rusia sendiri sudah jadi negara kapitalis. Namun begitu, semua negara di dunia ada kepentingan geopolitik masing-masing, tanpa mengira fahaman politiknya. Tetapi dulu Korea Utara tidak memiliki senjata nuklear. Sekarang Pyongyang mempunyai senjata itu. Korea Selatan tidak. Pertahanannya bergantung pada Amerika.

Jadi jika Perang Korea disambung semula, serangan boleh berlaku dari pihak Amerika dengan alasan Korea Utara melakukan ujian senjata nuklearnya. Tetapi untuk betul-betul berjaya, Amerika boleh meletakkan sasarannya supaya Korea Utara tidak sempat melancarkan peluru berpandunya ke atas Korea Selatan dan Jepun.

Tetapi jika Amerika menyerang Korea Utara, ia akan bergantung pada tentera Korea Selatan untuk memasuki Pyongyang dan keseluruhan negara itu. Adakah China hanya guna diplomasi atau turut menggunakan tentera? Apa yang pasti China akan menempatkan tenteranya di sempadan Korea Utara. Sama ada tentera China akan turut memasuki Korea Selatan tidak dapat dijangkakan. Dari segi geopolitik, China tidak akan mahu tentera Amerika di sempadannya. Selama ini Korea Utara menjadi penampan bagi China supaya Amerika tidak berada di sempadan.

Jika Perang Korea tercetus semula, kesannya amat buruk pada rantau dan dunia berbanding dulu. Kepentingan ekonomi kini amat besar di China, Korea Selatan dan Jepun. Buat masa ini negara-negara itu berusaha supaya pertempuran itu dapat dielakkan.

Kalau rundingan berjaya dan Kim Jong-un dapat diyakini, maka perjanjian damai boleh diteroka dan dimeterai untuk mengakhiri Perang Korea. Selagi konflik ini tidak dapat diselesaikan maka ia akan terus berlanjutan pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.