Video: Adenan Satem Main Sentimen Kenegerian, Kata Azmin

Oleh: M.Faizal

 

KUCHING – PKR mendakwa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem memainkan sentimen kenegerian demi mendapatkan sokongan dan undi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) ini.

 

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata tindakan Adenan itu boleh merugikan rakyat Sarawak kerana ia dilihat tidak mencerminkan hubungan baik pimpinan kerajaan negeri dengan Persekutuan.

 

“Saya melihat Adenan Satem cuba bermain sentimen kenegerian, sementara kita menghormati semangat dan prinsip autonomi bagi rakyat Sarawak, kita juga harus bersama-sama rakyat Sarawak supaya ada satu semangat yang utuh dengan Persekutuan.

 

“Beberapa permintaan rakyat Sarawak yang sepatutnya diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh kerajaan Persekutuan, mesti wujud dengan kerjasama yang baik.

 

“Sebagai contoh apabila dicadangkan oleh Keadilan sebelum ini supaya royalti minyak dinaikkan daripada lima peratus kepada satu jumlah yang lebih adil, ianya memerlukan kelulusan daripada Persekutuan. Begitu juga dengan menghapuskan GST.

 

“Tak mungkin kita boleh hanya main sentimen kenegerian semata-mata untuk mendapat undi kerana akhirnya yang rugi adalah rakyat negeri Sarawak,” katanya selepas menyampaikan ceramah di DUN Tarat malam tadi.

 

Mengulas lanjut, Menteri Besar Selangor itu juga menegaskan PKR tidak berkompromi dengan perjanjian pembentukan Malaysia dan hak Sarawak, namun tetap menggesa pimpinan negeri ini perlu terus menjalin hubungan kukuh dengan kerajaan Persekutuan.

 

“Sebagai sebuah negara yg merdeka kita harus menghormati perjanjian pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan mengembalikan hak rakyat Sarawak, itu kita tidak kompromi, tetapi pada masa yang sama kerjasama yang utuh dengan persekutuan itu perlu dijalin.

 

“Ianya hanya dapat dilaksanakan apabila kepimpinan negeri Sarawak itu benar-benar kuat dengan kepimpinan di peringkat Putrajaya,” ujar Azmin lagi.

 

Kenyataannya itu bagaimanapun menimbulkan persoalan apabila kelihatan seperti menyeru pengundi memberi kemenangan kepada kepimpinan BN Sarawak untuk menjamin hubungan baik dengan pemimpin pusat di Putrajaya. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.