PAS Tidak Ambil Kesempatan Isu MB Terengganu – Abdul Hadi

KUALA NERUS – PAS tidak akan bersikap gelojoh dan mengambil kesempatan dengan pergolakan yang berlaku dalam kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

 

Presidenya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata isu yang melanda Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman adalah masalah dalaman UMNO, dan PAS tidak akan campur tangan.

 

Menurut Abdul Hadi, PAS lebih berminat memberi mandat kepada rakyat untuk menilai kewibawaannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

 

“Kita anggap ini tempoh Barisan Nasional…. serah pada mereka, bukan tempoh kita.

 

“(Ia) tempoh mereka memerintah. Beri peluang kepada mereka sehingga habis penggal,” katanya kepada pemberita selepas ‘Majlis Makan Malam Amal Bersama Pengamal Media’ di Kuala Nerus pada Jumaat malam.

 

UMNO menerajui kerajaan negeri selepas memenangi 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU ke-13, manakala PAS menang 14 dan Pakatan Rakyat, PKR satu kerusi.

 

Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman yang mengambil alih jawatan daripada Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei, 2014 mula goyah apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran berkuat kuasa 22 April lalu.

 

Bagaimanapun, Ahmad Razif sehingga kini masih enggan mengulas mengenai perkara yang dibangkitkan dan menyerahkan kedudukanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.