Andaian Masyarakat Penan Masih Mundur Salah – Najib

MIRI – Datuk Seri Najib Razak berkata andaian orang asing bahawa masyarakat Penan masih mundur adalah salah kerana kaum itu kini menikmati kehidupan model hasil pembelaan kerajaan Barisan Nasional (BN).

 

Perdana Menteri berkata ini membuktikan dasar dan rancangan pembangunan inklusif oleh BN tidak menyisih mana-mana kaum atau golongan masyarakat daripada menikmati arus pembangunan moden.

 

Katanya beliau menyangkal tanggapan Bruno Manser, kononnya pejuang hak kaum Penan di Sarawak, bahawa masyarakat itu masih berpindah randah, memakai cawat dan ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

 

“Itu tidak benar. Saya melihat sendiri bahawa mereka telah moden,” katanya di hadapan 2,500 orang pada majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Panjang Mareng di Suai Niah, terletak kira-kira 135km dari sini.

 

Kediaman 36-pintu itu adalah rumah panjang moden pertama bagi komuniti Penan yang dianggarkan berjumlah 18,000 orang di seluruh Sarawak.

 

Penan adalah salah satu kaum dalam kumpulan etnik Orang Ulu. Najib berkata hasil bantuan dan peluang diberi oleh BN, kehidupan masyarakat itu mula mengalami perubahan sehingga ada anak muda daripada masyarakat itu sudah berjaya menjejak kaki ke universiti.

 

Beliau juga menghormati pencapaian Ketua Masyarakat Penan Sarawak, Datuk Temenggung Hasan Sui, yang hadir pada majlis tersebut, yang disifatkan sebagai contoh orang Penan yang berjaya.

 

Hadir sama calon BN Kemena, Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan calon BN Samalaju, Majang Renggi.

 

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk digunakan bagi tujuan menambahbaik serta menambah kemudahan rumah panjang Mareng Penan.

 

Peruntukan RM200,000 juga diberikan kepada Persatuan Kaum Penan untuk tujuan pendidikan anak-anak mereka.

 

Selain itu, Najib turut menyampaikan surat kelulusan tawaran untuk skim pinjaman rumah panjang kepada 34 pintu di rumah panjang Mareng Penan dan rumah panjang Ngipa Tinggang yang mempunyai 89 pintu di Sebauh, Bintulu.

 

Sementara itu, Rundi berkata perdana menteri sentiasa mendengar rintihan masyarakat Penan dan penduduk di Kemena bukan sahaja sewaktu pilihan raya.

 

Beliau berharap perdana menteri akan terus prihatin terhadap masalah di luar bandar seperti bekalan air bersih dan elektrik serta jalan raya.

 

Hasan Sui, seorang jutawan Penan, pula berkata walaupun etnik Penan adalah kumpulan kecil namun mereka tetap menyokong penuh Najib untuk terus memimpin negara. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.