Kes Liwat: Anwar Failkan Semakan Di Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

 

Rayuan difailkan di bawah Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 bagi memohon membatalkan dan mengenepikan sabitan dan hukuman terhadap beliau.

 

“Terdapat ketidakadilan yang serius dalam keputusan mahkamah yang pertama. Mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak mana-mana ketidakadilan yang berlaku,” kata peguamnya, N. Surendran.

 

Pada 10 Februari, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali, mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang itu.

 

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu. Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

 

Manakala Anwar diwakili oleh sepasukan 15 orang peguam yang diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sendiri. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.