Penumpang Dakwa Bayi Tidak Dibenarkan Naik Pesawat, Terpaksa Bayar RM 10 Ribu Pulang Ke Tawau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 29 Mac 2025 – Seorang penumpang meluahkan kekecewaan terhadap syarikat penerbangan AirAsia selepas mendakwa bayinya yang berusia lapan bulan tidak dibenarkan menaiki pesawat bersama keluarganya. Insiden ini mencetuskan kecaman di media sosial apabila penumpang tersebut mendakwa AirAsia gagal memberikan penyelesaian yang wajar.

Dalam satu hantaran tular, individu berkenaan menjelaskan bahawa dia telah membeli tiket penerbangan untuk lima orang, termasuk bayi, bagi perjalanan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Tawau. Namun, ketika proses daftar masuk, dia dimaklumkan bahawa kuota bayi (infant) dalam penerbangan tersebut telah penuh.

“AirAsia boleh approve pembelian tiket berLIMA. Tapi kau boleh tinggalkan baby (Infant) yang sepatutnya bersama ibunya. Dengan alasan KUOTA INFANT DAH PENUH. Kenapa AirAsia approve pembelian kalau sudah tahu kuota penuh? Dan kenapa tidak inform pembeli atau penumpang pasal hal ini?” katanya dalam hantaran yang kini mendapat ribuan reaksi netizen.

Lebih mengecewakan, menurutnya, AirAsia tidak memberikan pilihan lain seperti menunda penerbangan, menukar jadual perjalanan untuk ibu dan bayi, atau memberikan bayaran balik.

“Sudah kau buat macam ni, kau tak bagi apa-apa solusi kepada penumpang… TAK BOLEH SELIT BABY. TAK BOLEH TUNDA UNTUK MAK SEKALI DENGAN BABY. TAK BOLEH REFUND.”

Menurutnya, dia hanya mengetahui masalah ini selepas menunggu hampir tiga jam di kaunter AirAsia di KLIA2. Masalah tersebut dimaklumkan kepadanya hanya satu jam sebelum waktu penerbangan, menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.

“Saya menangis terjerit di terminal. Tak dapat bayangkan anak 8 bulan saya kena tinggal…” katanya dalam luahan penuh emosi.

Individu itu turut mendakwa dirinya terpaksa menaiki penerbangan secara berasingan dengan bayi ke Kota Kinabalu sebelum meneruskan perjalanan ke Tawau, sesuatu yang tidak dirancang kerana pada awalnya memilih penerbangan terus.

Netizen Kecam, AirAsia Didesak Perbaiki Sistem

Luahan tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam tindakan AirAsia dan menggesa syarikat penerbangan itu menambah baik sistem tempahan serta perkhidmatan pelanggan.

Sebahagian pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman serupa, mendakwa insiden seperti ini pernah berlaku sebelum ini. Ada juga yang mencadangkan agar Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) serta Kementerian Pengangkutan menyiasat kes ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

Setakat ini, AirAsia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat