Pemilik Sebenar Cabar Tindakan DOJ Sita Kapal The Equanimity

KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menyita kapal layar mewah ‘The Equanimity’ dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia, kini dicabar di mahkamah Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).

Equanimity (Cayman) Limited, selaku pemilik sah kapal berkenaan, yang menyifatkan DOJ dan pihak berkuasa Indonesia bertindak melampaui had perundangan negara masing-masing dalam isu terbabit, sudah memfailkan dokumen berkaitan di mahkamah kedua-dua negara bagi membuktikannya.

Pemilik kapal itu mendakwa, DOJ sendiri menangguhkan kes berkaitan aset berkenaan tahun lalu dan tiada langkah diambil membuktikan berlaku sebarang salah laku, namun menyita kapalnya di Indonesia, sedangkan perintah penangguhan yang dikeluarkan mahkamah berhubung kes itu masih sah.

“Tindakan DOJ memfailkan (kes) di California adalah usaha untuk menggunakan dakwaan yang boleh dipertikaikan mengenai tindakan yang diambil sebelum ini bagi menutup tindakannya sendiri yang bercanggah dengan undang-undang di Indonesia.

“Seperti ditunjukkan dalam dokumen mahkamah yang difailkan Equanimity (Cayman) Limited, tindakan DOJ hanya akan menjejaskan nilai kapal terbabit dengan ketara, selain mendedahkan anak kapal kepada bahaya.

“Tindakan itu tidak perlu sama sekali kerana kami sentiasa sedia menjual kapal berkenaan sementara kes DOJ masih berjalan. Sekiranya jualan dibuat berdasarkan keadaan pasaran yang mencerminkan nilai sebenar dan mendapat harga yang adil,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di London, semalam.

Equanimity (Cayman) Limited turut mendakwa pendekatan diambil DOJ hanya menjejaskan nilai kapal berkenaan, sedangkan badan itu belum menunjukkan sebarang hak perundangan untuk membuat tuntutan.

Katanya, badan itu juga tidak cuba mendapatkan hak milik kapal mewah itu dengan menghubungi pihaknya, yang sudah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan DOJ dan mahkamah AS.

Tambah kenyataan itu, walaupun DOJ boleh mengambil mana-mana tindakan yang dinyatakan itu pada bila-bila masa, namun badan itu memilih jalan yang sebenarnya tidak perlu, mahal dan tidak dirancang dengan baik apabila menyita kapal berkenaan di perairan Indonesia, sekali gus menjejaskan nilainya.

Susulan itu, pada Rabu lalu, Equanimity (Cayman) Limited selaku pemilik kapal, memfailkan jawapan bagi memperbetulkan kesilapan fakta dan salah tafsir dalam dokumen terbaru yang difailkan kerajaan (AS).

Ia mendakwa, bercanggah dengan dakwaan dibuat dalam dokumen difailkan kerajaan (AS) itu, lokasi kapal mewah berkenaan tidak pernah dirahsiakan dan Equanimity (Cayman) Limited tidak mengambil sebarang langkah untuk menjejaskan nilainya.

Malah, dakwanya, Kerajaan (AS) tidak mengambil sebarang langkah untuk membuktikan kesnya atau hak ke atas kapal berkenaan serta tiada penemuan menunjukkan berlakunya sebarang salah laku.

Justeru itu, Equanimity (Cayman) Limited, selaku pemilik ‘The Equanimity’ bertekad meneruskan usaha melindungi hak dan asetnya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.