Doktor Konon

Johor Bahru: Seorang wanita didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah menyamar doktor perubatan sebuah poliklinik menggunakan sijil perakuan amalan tahunan palsu.

Hukuman itu dibuat Majistret Noor Aisyah Ahmad dan turut mengarahkan tertuduh, S Logeswary, 32, dipenjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Logeswary yang juga tidak mempunyai pekerjaan itu didakwa dengan sengaja dan secara palsu berpura-pura sebagai doktor perubatan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di poliklinik di Jalan Masai Jaya, Mukim Plentong, Masai jam 10.40 pagi pada 7 Mac lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 33 (1)(a) Akta Perubatan 1971 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Jalil Salim Muhamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan Unit Kawalan Perubatan Swasta ke premis berkenaan berikutan terdapat aduan orang awam mengenai operasi di poliklinik di Jalan Masai Jaya, Mukim Plentong.

Pengadu yang juga kakitangan unit terbabit kemudian bertemu seorang wanita yang mengaku sebagai doktor dan meminta mengeluarkan sijil perakuan amalan tahunan.

Bagaimanapun, wanita berkenaan mengakui tidak memiliki sijil itu sebelum laporan polis dibuat dan ditahan untuk tindakan siasatan.

Kes membabitkan tertuduh didengar jam 11.45 pagi dan tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan berdasarkan kertas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam tetapi tertuduh yang berbaju biru dan berseluar denim itu memohon dikenakan hukuman ringan.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.