Dafi Tak Ralat Girl Disangka Nyanyian Mark Adam

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dafi tidak ralat apabila single terbarunya, Girl, yang melatari drama rantaian Sayang Papa Saya Tak disangka peminat sebagai nyanyian Mark Adam.

Dafi atau nama penuhnya, Gadaffi Ismail Sabri, 29, berkata pertanyaan ramai dan maklum balas berhubung penyanyi sebenar single terbarunya itu dianggap sebagai pujian.

“Tidak mengapa kalau ada yang tidak tahu lagu Girl adalah single baharu saya. Malah, pada masa sama ramai bertanya sama ada lagu itu kepunyaan Mark Adam.

“Bagi saya itu juga antara pujian apabila menyamakan suara saya dengan penyanyi dan komposer yang mempunyai kredibiliti tersendiri dalam bidang seni suara.

“Hakikatnya andai ada rezeki, saya tidak menolak untuk bekerjasama dan belajar vokal daripadanya (Mark Adam). Saya juga tidak ralat kerana disebabkan kemusykilan peminat, ia turut melonjakkan tontonan klip muzik Girl di YouTube.

“Buat masa ini klip berkenaan sudah mencecah lebih 700,000 jumlah tontonan dalam tempoh singkat. Catatan itu bagi saya adalah sesuatu yang membanggakan,” katanya kepada BH Online.

Single terbaru bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu dicipta menerusi kolaborasi tiga komposer muda iaitu Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong.

Dafi turut memaklumkan, pembikinan album baharu sepenuhnya yang diterbitkan komposer Indonesia, Ahmad Dhani, itu bakal memuatkan 10 lagu sejajar ulang tahun ke 10 berkecimpung dalam industri.

“Alhamdulillah, tidak sangka sudah sedekad saya menceburi bidang seni sekali gus pengalaman yang ada menyuntik kematangan berbanding di awal kemunculan dulu.

“Dulu memang terdengar kata-kata pedih yang mengatakan suara saya seperti itik namun kini semakin banyak teguran dan maklum balas positif yang saya terima..

“Album terbitan Ahmad Dhani itu masih dalam proses pembikinan kerana dia kini sibuk dengan pilihan raya yang bakal menjelang namun kami sempat merakamkan beberapa lagu,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dafi pernah menghasilkan album penuh pada 2009 berjudul Seumur Hidup disusuli mini album yang memuatkan lima dendangan pada 2014, D4F1.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.