PKR Cari Alternatif Supaya Anwar Diampunkan

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, beliau akan berbincang dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengusahakan cara lain bagi mendapatkan pengampunan bagi ketua umum partinya itu.

 

Katanya, langkah itu akan dilakukannya memandangkan Lembaga Pengampunan melupuskan petisyen yang difailkan oleh keluarga ketua pembangkang itu.

 

Menurut Azmin, beliau juga akan berbincang dengan peguam bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan daripada Yang Di-pertuan Agong.

 

“Saya akan berbincang dengan pihak keluarga dan pihak peguam Anwar untuk melihat apakah saluran lain yang boleh dikemukakan,” katanya.

 

Azmin bercakap kepada pemberita di bangunan DUN Selangor selepas perasmian mesyuarat pertama penggal ketiga DUN ke-13 di Shah Alam hari ini.

 

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh minggu lalu mendedahkan bahawa Lembaga Pengampunan melupuskan petisyen yang difailkan oleh keluarga Anwar.

 

Keputusan itu bakal menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan ketua pembangkang.

 

Keputusan Lembaga Pengampunan itu juga telah diberi kepada keluarga Anwar dalam bentuk afidavit.

 

Peguamnya kini masih menunggu pengesahan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung keputusan tersebut.

 

Permohonan berkenaan difailkan oleh anggota keluarga Anwar pada 24 Februari lalu mengikut Peraturan 113, Peraturan Penjara 2000.

 

Peruntukan itu memberi peluang kepada para banduan untuk mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, sultan atau raja atau yang dipertua negeri.

 

Menurut peruntukan itu, seseorang banduan boleh memohon pengampuman seberapa segera selepas sabitan, dan seterusnya selepas tiga tahun dan selang dua tahun selepas itu. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.