Nahas Germanwings: Kapten Rayu Buka Pintu Kokpit

PARIS – Kapten pesawat Germanwings 4U 9525 yang terhempas di Banjaran Alps, baru-baru ini dilaporkan merayu kepada pembantunya supaya ‘membuka pintu’ kokpit sebelum pesawat itu terhempas.

 

Sebuah akhbar Jerman, hari ini melaporkan pegawai Perancis sebagai berkata, perakam suara kotak hitam pesawat Airbus 320 itu mendedahkan pembantu juruterbang, Andreas Lubitz, 27, mengunci pintu kokpit dan sengaja menyebabkan kemalangan itu berlaku.

 

Mereka percaya, juruterbang cuba sedaya upaya untuk membuka pintu kokpit dalam tempoh lapan minit selepas beliau ke tandas, ketika pesawat itu mula menjunam.

 

Akhbar Jerman, Bild hari ini melaporkan, data daripada perakam suara kokpit menunjukkan kapten kapal itu menjerit For God’s sake, open the door (Demi Tuhan, buka pintu ini) diikuti jeritan penumpang-penumpang, sebelum pesawat berkenaan terhempas.

 

Juruterbang itu kemudian cuba memecahkan pintu kokpit tersebut menggunakan kapak dan kemudian menjerit open the damn door (buka pintu ini).

 

Bild melaporkan sebelum meninggalkan kokpit, kapten kapal itu boleh didengari menyatakan kepada rakan sekerjanya bahawa beliau tidak sempat ke tandas sebelum berlepas ke Barcelona.

 

Pendakwa Raya Jerman percaya Lubitz menyembunyikan masalah penyakit yang dihadapinya daripada syarikat penerbangan dan rakan sekerjanya dan dia hanya dianggap sakit pada hari kejadian.

 

Pesawat 4U 9525 yang dalam penerbangan dari Bercelona ke Duesseldorf itu terhempas di Banjaran Alps pada 24 Mac lalu menyaksikan semua 150 penumpang dan anak kapal pesawat itu terbunuh. – AFP/UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.