Video: Muktamadkan Segera Isu Air, Jangan Main Politik – Sultan Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya isu penstrukturan semula air di negeri ini tidak dipolitikkan hingga akhirnya menidakkan keperluan rakyat.

 

“Beta mahu Memanda Menteri Besar meneruskan sikap tegas dalam mempertahankan kedaulatan negeri dan kepentingan rakyat. Beta berharap penstrukturan semula air di Selangor dapat dimuktamadkan segera berdasarkan semangat dan terma perjanjian yang ditandatangani pada 12 September lalu.

 

 

“Beta yakin pendekatan untuk bersemuka dan berbincang dapat menyelesaikan hal ini secara adil demi menjamin perkhidmatan air terawat yang efisien dan mesra rakyat kepada warga Selangor.

 

“Oleh itu beta menyeru agar perkara ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak supaya ia dapat dilaksanakan dengan sempurna demi memenuhi keperluan pembangunan dan kehidupan rakyat,” titahnya ketika merasmikan pembukaan penggal ketiga persidangan Dun Selangor yang ke-13.

 

Awal bulan ini, isu penstrukturan air di Selangor kembali hangat diperdebatkan apabila Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali membatalkan perjanjian penstrukturan air dengan Persekutuan, alasan yang digunakan ialah Pusat melanggar terma perjanjian pada September tahun lalu.

 

Tidak berapa lama selepas tindakannya itu, Azmin kemudiannya dilapor meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ‘campur tangan’ dalam menyelesaikan kemelut penstrukturan semula bekalan air di negeri ini.

 

Beliau terdahulu mendakwa Putrajaya mahu mengambil alih tanah dan aset Selangor yang di luar Perjanjian Utama penstrukturan semula industri air yang telah dimeterai.

 

Bagaimanapun perkara itu dijelaskan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili di mana isu tanah itu terkandung dalam perjanjian berkenaan dan menjelaskan pihaknya hanya meminta tanah itu dipajak atau dirizabkan kepada kerajaan Persekutuan selama 45 tahun sebelum dipulangkan semula kepada kerajaan negeri.

 

Tindak tanduk Azmin itu turut membimbangkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.