Merusuh Di Stadium : Lima Lelaki Didenda RM2,500

Shah Alam – Lima lelaki termasuk dua beradik dikenakan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Disember lepas.

 

Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin turut memerintahkan Amirul Akmal Nooradzhar, 23; Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28; Muhamad Izzat Mohd Khir, 26; serta dua beradik Mohd Aminuddin Hamdan, 35; dan Noor Hadi, 30; menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.

 

Kelima-lima lelaki itu membayar denda.

 

Kesemua mereka mengaku bersalah atas tuduhan bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas, merusuh dengan menyerang penyokong pasukan bola sepak Vietnam menggunakan kekerasan di kawasan Quadrant A, Stadium Shah Alam pada pukul 9.50 malam, 7 Dis tahun lepas.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Hukuman bagi seorang lagi tertuduh, Muhammad Naquiyuddin Sallehuddin, 20, ditetapkan pada 28 April ini bagi mendapatkan laporan sosialnya berikutan ketika kejadian dia merupakan pesalah muda.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip sementara peguam Muhammad Hidhir Mustapa mewakili Amirul Akmal dan Zulhelmy Akmal, peguam M. Hafiz Zainol Abidin mewakili Mohd Aminuddin dan Noor Hadi dan peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud mewakili Muhamad Izzat.

 

Terdahulu, peguam-peguam berkenaan memohon mahkamah hanya mengenakan denda ke atas anak guam masing-masing atas alasan mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

 

Peguam juga berkata ketika wajah kesemua tertuduh disiarkan di surat khabar dan media sosial, anak-anak guam mereka terus menyerah diri di balai polis.

 

Dalam insiden pada 7 Dis tahun lepas, sekumpulan penyokong Harimau Malaya, yang kecewa setelah Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam, dikatakan melakukan provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Vietnam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.