Pasangan Goh V Shem/Khim Wah Gagal Juarai Grand Prix Emas

PASIR GUDANG – Gandingan pilihan kedua Malaysia, Goh V Shem/Lim Khim Wah gagal merangkul gelaran juara Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Yonex-Sunrise Malaysia 2014 selepas tewas kepada gandingan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta/Chayut Triyachart di sini hari ini.

Dilihat kurang melakukan serangan pada set pertama, juara Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014 pada Januari lalu itu ketinggalan lima mata pada satu ketika sebelum tewas 21-17.

Namun V Shem/Khim Wah bangkit memberi saingan dan bermain berhabis-habisan pada set kedua namun tewas 22-20.

“Kami tidak menghadapi sebarang gangguan. Cuma gandingan mereka lebih bagus dari segi strategi,” katanya Khim Wah yang menambah kedua-dua mereka kurang berkeyakinan pada set pertama.

“Sokongan peminat adalah tinggi dan kami telah membuat yang terbaik pada set kedua namun masih gagal untuk menang,” kata V Shem yang mengakui strategi lawan berjaya memecahkan permainan mereka.

Juara kategori perseorangan lelaki adalah milik Simon Santoso dari Indonesia selepas menewaskan Sourabh Varma dari India 15-21, 21-16, 21-19.

Pemain pilihan kedua kejohanan, Yao Xue dari China memenangi kategori perseorangan wanita setelah menewaskan Adrianti Firdasari dari Indonesia dengan 21-18, 21-8.

Juara kategori beregu wanita ialah gandingan Yu Xiaohan/Huang Yaqiong dari China yang menewaskan gandingan rakan senegara, Ou Dongni-Xiong Mengjing 22-20, 12-21, 21-18.

Dalam acara beregu campuran, pasngan China Lu Kai/Huang Yaqiong menewaskan pasangan Jordan Praveen/Debby Susanto dari Indonesia 21-14, 21-13. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.