Pemimpin Parti Amanah Dakwa Kenyataan Adun PKR ‘Dangkal, Prejudis dan Sesat’

PETALING JAYA – Amanah Perak hari ini membidas kenyataan seorang Adun PKR yang didakwa menyifatkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 ketinggalan zaman.

Naib Pengerusinya, Muhaimin Sulam mengkritik kenyataan Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung sebagai “dangkal”, “sesat” dan “prejudis” dan menganggap dasar tersebut masih relevan dan tidak lapuk.

“Dasar tersebut haruslah difahami latar belakang sejarah dan proses pembinaannya. Meskipun lebih 4 dekad berlalu dan perubahan banyak berlaku, pembinaan negara bangsa Malaysia yang diimpikan masih jauh tercapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata penggubalan Dasar Kebudayaan Negara baru akan mengambil kira saranan hasil kajian Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Gooi dilapor berkata saranan itu “ketinggalan zaman” dan “berfikiran sempit”, kerana dasar yang diperkenalkan selepas tragedi 13 Mei 1969, digubal berdasarkan 3 prinsip iaitu, budaya kebangsaan mesti berdasarkan budaya Melayu; unsur-unsur yang sesuai budaya lain boleh diterima sebagai sebahagian budaya kebangsaan; dan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Amanah Perak menegaskan sebarang perubahan pada dasar itu tidak boleh menggadaikan 3 prinsip tersebut.

“Jangan keghairahan menerajui kerajaan baru, segalanya hendak diubah, dipinda dan dibuang,” kata Muhaimin.

“Hentikan kerja-kerja sia dan fokus kepada penyelesaian masalah utama rakyat sekarang.”

Sementara itu, Gooi ketika dihubungi enggan membalas kenyataan Muhaimin, yang dianggap seperti seorang “kawan”.

“Saya tak nak komen. Itu pandangan dia. Dia berhak memberi pandangan dia,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.