Kes Sultanah Terengganu Saman Clare Dibicarakan Hujung Tahun Ini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 5 hari bermula 25 Nov untuk perbicaraan kes saman difailkan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown serta 2 lagi berhubung kenyataan fitnah dalam buku “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Peguam Vishu Kumar yang mewakili Sultanah Nur Zahirah ketika ditemui pemberita berkata tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim ketika pengurusan kes berkenaan di dalam kamarnya hari ini.

Peguam itu berkata perbicaraan ditetapkan dari 25 hingga 29 Nov ini dan 9 saksi dijangka dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Sultanah Nur Zahirah serta Rewcastle Brown.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Americk Singh Sidhu yang bertindak bagi pihak Rewcastle Brown dan 2 defendan lain.

Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memfailkan saman itu pada 21 Nov tahun lepas dengan menamakan Rewcastle Brown atau nama sebenar Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin, serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam penyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle Brown mengeluarkan kenyataan dalam buku itu sekitar Ogos tahun lepas dan buku berkenaan dicetak oleh Vinlin Press.

Dakwa Sultanah Nur Zahirah, kenyataan fitnah itu membawa maksud plaintif terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu serta menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan menolong Jho Low, atau nama sebenar Low Taek Jho, bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat di TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu adalah fitnah kerana plaintif tidak pernah melibatkan diri dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan penubuhan TIA selain mendakwa kenyataan itu memalukan serta menjatuhkan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat.

Sultanah Nur Zahirah bertitah adalah suatu fakta diketahui umum bahawa 1MDB sebelum ini dikenali sebagai TIA.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan ke-2 menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ke-3 menghenti pencetakan lanjut salinan buku berkenaan.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak mencadangkan plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan dalam urusan 1MDB. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.