Belum Ada Keputusan Mengenai ECRL Walaupun Sebelum Ini Ada Ketetapan – Dr Mahathir

PETALING JAYA – Masih belum ada keputusan muktamad yang diambil berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana rundingan masih belum selesai.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, Kabinet telah mengambil keputusan berhubung projek berkenaan namun terdapat perubahan yang perlu dibuat menyebabkan rundingan lanjut dengan pihak-pihak tertentu masih belum dapat diselesaikan.

“Tiada keputusan dibuat mengenai ECRL. Sebelum ini sudah ada ketetapan, tapi sekarang ada perubahan.

“Lim Guan Eng akan umum bila rundingan yang dikendalikannya selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai percanggahan kenyataan di antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Perdana Menteri berkata, kedua-dua menteri betul tetapi membuat pengumuman pada masa yang salah.

“Sebenarnya keputusan sudah dibuat. Menteri hadir dalam mesyuarat Kabinet, tetapi media tidak laporkan perkara sebenar dengan menekankan perkara lain.

“Sebenarnya yang patut diberi penekanan ialah hubungan kita dengan China kekal utuh (meskipun Malaysia ada keputusan mengenai status projek ECRL).

“Media memberi tafsiran berbeza mengenai kenyataan menteri, saya sendiri tanya menteri.

“Dia kata tak jawab macam itu,” katanya.

Azmin pada Sabtu lalu dilaporkan berkata projek ECRL diterajui CCCC ditamatkan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 24 Januari lalu.

Bagaimanapun ketika perkara yang sama ditanya kepada Guan Eng, beliau terkejut dengan kenyataan Azmin. -MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.