Shukri Yahaya Dikawal Isteri?

SENYAP selepas disapa kontroversi, ada pihak mendakwa pelakon kacak ini sebenarnya kini dikawal ketat oleh isterinya, Tya Adnan.

Masakan tidak, dakwaan kononnya dia menggoda seorang wanita melalui aplikasi di laman sosial baru-baru ini sedikit sebanyak menyebabkan pelbagai tuduhan tidak benar membelenggu dirinya.

Menafikan perkara seperti itu berlaku, kata Shukri Yahaya, kehilangannya bukan disebabkan oleh kawalan isteri tetapi kesibukan di set penggambaran menyebabkan dia sepi daripada publisiti.

“Isteri saya tidak pernah mengawal saya seperti didakwa. Orang nampak saya tidak aktif di kaca televisyen (TV) bukan kerana saya berkurung di rumah sebaliknya saya sibuk di set penggambaran dan produknya akan dipertonton tahun ini.

“Saya akui memang kali pertama saya berhadapan dengan kontroversi seperti itu tetapi sejujurnya perkara tersebut tidak pernah memberi impak kepada karier mahupun keluarga saya,” jelasnya.

Mengakui selepas kontroversi berkenaan dia dan isterinya ada duduk berbincang dalam menyelesaikan isu tersebut, Shukri berkata, sehingga saat ini, hubungan dia dan Tya tidak bermasalah kerana dia tidak pernah melakukan perkara sebegitu.

“Bagaimanapun sebagai isteri dia ada nasihatkan saya untuk lebih berhati-hati selepas ini memandangkan dia sedar status sebagai seorang pelakon ini amat mudah terpalit dengan kontroversi seperti itu,” ujarnya.

Mengakui dirinya nakal, Shukri, 29, bagaimanapun tegas menyatakan bahawa dia tidak akan berbuat sesuatu perkara yang akan menggadaikan perkahwinan memandangkan keluarga merupakan harta paling berharga buat dirinya.

“Saya nakal tetapi lebih kepada mengacau orang sahaja. Untuk nakal membabitkan perempuan itu bukan saya. Malah tidak pernah terlintas pada fikiran saya untuk berbuat demikian.

“Tetapi memang selepas kejadian tersebut saya sangat berhati-hati malah untuk menggunakan perkhidmatan panggilan video atau bersembang secara langsung juga saya tidak akan buat. Sangat takut jika ada yang menyalahgunakan pula,” jelasnya.

Amat menyayangi isterinya, kata Shukri yang meluangkan waktu bercuti ke Jepun tahun lepas bersama-sama keluarganya, Tya juga adalah kekuatan buat dirinya.

Malah dia mahu menyimpan impian untuk membawa isterinya menunaikan umrah.

“Melihat dia menjaga anak dan menguruskan rumah tangga saya yakin dia adalah seorang yang kuat. Sebab itu ketika ini saya sangat pentingkan waktu bersama-sama keluarga sebab saya tahu insan-insan ini adalah kekuatan buat diri saya,” katanya.

Filem pertama watak utama

Surf This Love merupakan filem pertama bagi Shukri memegang watak utama. Mengakui sedikit berbeza membawakan watak seorang budak pulau yang mahir meluncur air, kata Shukri, ini adalah filem yang sudah lama dinanti-nantikannya.

“Pengalaman untuk merasai sendiri sukan luncur air itu memang tidak akan saya lupakan. Sebab bukan mudah sebenarnya untuk melakukan sukan ini. Walaupun mengalami kecederaan dalam memahirkan diri tetapi saya puas,” katanya yang mengharapkan sokongan penonton untuk filem tersebut yang bakal ditayangkan pada 22 Februari ini.

Selain Shukri antara pelakon lain yang turut menjayakan filem ini adalah Christina Suzzane, Pekin Ibrahim, Josiah Hogan dan Ardell Aryana.

Penggambaran yang mengambil masa selama hampir tiga minggu itu menggunakan lokasi di Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Bali, Indonesia.

Rezeki anak

Berpegang prinsip rezeki yang diperoleh adalah milik anak dan isterinya, Shukri yakin sebagai ketua keluarga dia perlu ikhlas dalam memberikan sebuah kehidupan yang baik buat keluarganya itu.

Sebab itu jelasnya, adalah penting bagi dirinya agar tidak mensia-siakan amanah yang diberikan.

“Saya selalu berkongsi dengan orang luar bahawa rezeki yang kita miliki ini bukan semuanya milik kita sebab kita berkongsi rezeki dengan keluarga kita. Sebab itu saya dahulukan mereka dalam apa-apa hal.

“Membahagiakan mereka adalah keutamaan saya,” katanya.

Dan seperti anak selebriti lain, anaknya, Aaira Ameena juga cukup popular dalam kalangan pengguna laman sosial.

Sebagai bapa, Shukri tidak dapat menafikan keadaan itu malah dia juga tidak menolak rezeki yang hadir atas nama anaknya itu, namun Shukri enggan membenarkan anaknya yang bakal berusia dua tahun ini bergelar pelakon pada usia sebegini.

“Memang ada tawaran malah saya dan isteri sudah bersetuju untuk melihat anak kami terlibat dalam bidang seni walaupun masih muda. Bagaimanapun ada syarat yang perlu saya letakkan memandangkan saya tidak mahu anak saya terbeban.

“Untuk berlakon memang saya tidak akan benarkan sebab saya sendiri tahu bagaimana letihnya berada di set penggambaran. Bagaimanapun aktiviti seperti mempromosikan produk misalnya, kami tidak ada masalah,” katanya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.