Remaja Lelaki Tak Mengaku Salah Bunuh 23 Pelajar dan Guru Tahfiz

KUALA LUMPUR – Dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, September tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan berkenaan sejurus kesemua 23 pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka yang kini berusia 17 tahun itu didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendawa Raya Nurakmal Farhan Aziz, manakala Michelle Ng bertindak sebagai peguam kedua-dua tertuduh itu.

Dalam kejadian awal pagi pada 14 September tahun lalu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu yang terbakar.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati kebakaran berkenaan berpunca daripada unsur khianat. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.