PM Beri Sumbangan Peribadi Kepada Bekas Pemenang Anugerah Kajai

PUTRAJAYA – Sumbangan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini disampaikan kepada bekas wartawan Berita Harian, Tajuddin Saman, 70, di kediamannya di Presint 9 di sini berikutan terlantar sakit sejak lapan tahun lalu selepas diserang angin ahmar.

Sumbangan kepada Tajuddin yang pernah memenangi anugerah tertinggi kewartawanan negara iaitu Anugerah Kajai pada 1990 itu disampaikan melalui Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Menurut Akmar, selain sumbangan peribadi Perdana Menteri, turut disampaikan kepada Tajuddin hari ini ialah sumbangan wang tunai daripada rakan-rakan setiausaha akhbar kepada menteri-menteri Kabinet, lapor Utusan

“Hari ini saya sampaikan sumbangan daripada dua pihak kepada Tajuddin iaitu sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri dan juga sumbangan daripada rakan-rakan setiausaha akhbar kepada menteri-menteri Kabinet.

“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban keluarganya untuk membeli barangan keperluan seperti susu dan juga lampin pakai buang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di sini hari ini.

Tajuddin yang juga penulis buku berjudul ‘Dari Kodiang ke Jalan Riong’ yang mengisahkan mengenai kerjayanya sebagai wartawan terlantar sakit sejak lapan tahun lalu selepas diserang angin ahmar.

Tajuddin juga pernah menjadi setiausaha akhbar bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.