Perkahwinan Paling Dinantikan

Mungkin ini majlis perkahwinan paling dinanti-nantikan peminat.

Malah, Jumaat lalu, ramai memuji majlis pernikahan penyanyi popular Yunalis Mat Zarai’ai atau Yuna, 32, dan pasangannya Adam Sinclair, 34, yang diadakan di tengah-tengah kehijauan rimba dan berpanoramakan Banjaran Titiwangsa serta kabus di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.

Pendek kata, acara yang hanya dihadiri keluarga dan teman rapat pasangan mempelai itu tampak elegan dan serba indah.

Ia disempurnakan lagi dengan majlis resepsi gilang-gemilang di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.

Dari pintu masuk dewan, mata tetamu digamit dengan keunikan dekorasi yang menggambarkan ‘jiwa’ Yuna dan jejaka pilihannya. Mengetengahkan tema tradisional dan alam semula jadi, acara itu tampak gah dan mewah.

Selepas ketibaan tetamu kehormat, pasangan pengantin yang anggun dalam persalinan rona putih gading rekaan pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat melangkah masuk ke dalam dewan kira-kira jam 9 malam.

YUNA dan Adam anggun dalam persalinan rona putih gading.
Kemunculan mempelai mencuri tumpuan kira-kira 1,500 jemputan termasuk orang kenamaan dan selebriti tanah air.

Mempelai dan tetamu dihiburkan dengan persembahan kumpulan Hujan dan Aizat Amdan.

Selain itu, kakak ipar Yuna yang juga penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestary turut berduet dengan Aizat menerusi lagu Aku dan Dirimu.

Tidak ketinggalan, rakan Yuna yang juga penyanyi kelahiran program The Voice Amerika Syarikat, Dez Duron turut menyampaikan dua lagu.

Bapa Yuna, Datuk Mat Zarai’ai Alias turut melakukan kejutan dengan menyanyikan lagu Perfect dendangan asal Ed Sheeran, malah beliau turut menyampaikan lagu Corazon Espinado nyanyian asal Carlos Santana sambil bermain gitar.

Resepsi Yuna dan Adam turut dimeriahkan dengan kehadiran Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamlullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.