Pekerja Bunuh Majikan Hamil Dihukum Gantung

IPOH – Seorang pekerja sebuah resort di Pulau Pangkor dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh majikannya yang sedang hamil di sebuah resort di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, 10 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Hamzah Osman, 28, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Anselm dalam penghakimannya berkata, keputusan itu juga dilakukan selepas mengambil kira hujahan dan penjelasan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Jelasnya, seramai 20 orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Hamzah Osman didapati bersalah dan telah disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tiada hukuman lain yang diperuntukkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain hukuman gantung. Kamu akan digantung di leher sehingga mati,” katanya, lapor Kosmo

Mengikut kertas pertuduhan, Hamzah didakwa telah membunuh Norazlida Iden,41, dengan menggunakan sebatang kayu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah resort di Teluk Nipah, Pulang Pangkor dekat sini kira-kira pukul 1 pagi pada 18 Ogos 2014.

Tertuduh yang diwakili peguam, M. Manoharan dan S Kirthiraj didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab telah memanggil 20 saksi manakala pihak pembelaan tidak memanggil sebarang saksi setelah tertuduh memilih untuk berdiam diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.