PAS Tempelak PAN, Sumpah Baiah Pun Boleh Lompat, Inikan Pula Aku Janji

Kalau dengan sumpah Baiah (Ikrar) pun boleh lompat, inikan pula aku janji yang dibuat oleh pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) untuk menghalang calon parti itu daripada lompat parti.

Demikian sindir Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika membidas parti serpihan PAS iaitu PAN. Malah kata beliau, pemimpin PAN ketika bersama PAS dahulu juga pernah berjanji tidak lompat parti dan melakukan baiah (ikrar) atas nama Allah, namun tetap menyertai PAN.

“ Kita ikat ahli kita dengan baiah, bukan dengan kita sahaja tetapi dengan Allah. Lalu parti PAN pun kata, kami akan buat baiah. Tukang lompat akan buat baiah, aku tidak percaya.

“Tolong jangan kecewakan rakyat, PAS buat baiah, orang hendak lari kita tidak boleh buat apa-apa. Kita serah kepada Allah,” katanya dalam sebuah forum di Temerloh, malam tadi.

PAN dikatakan bersedia mempertimbangkan kontrak untuk menghalang calonnya daripada melompat parti menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula berkata ia mengkaji kontrak menghalang lompat parti di kalangan wakil rakyat yang menang PRU nanti, termasuk mengenakan penalti RM20 juta.

Manakala sumpah baiah PAS pula, dilaksanakan bagi memastikan calonnya tidak melompat parti. Malah pada PRU13, semua calon Pas yang bertanding atas tiket parti Islam itu melakukan baiah untuk tidak melompat parti.

Bagaimanapun bagi wakil rakyat parti itu di Kelantan, selain baiah, mereka turut melafazkan taklik talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya berbuat demikian.

PAS sebelum ini menuduh beberapa pemimpin Amanah melanggar baiah tersebut, termasuk Adun Salor, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Tuan Ibrahim juga secara sini berkata, tidak mustahil sekiranya calon-calon dari parti gabungan Pakatan Harapan (PH) akan lompat parti dan menyertai PPBM sekiranya terdesak memandangkan memperoleh majoriti kerusi bertanding di Parlimen.

“Terus terang saya sebutkan, tidak mustahil bila parti baru ini dalam keadaan terdesak, mereka akan ambil sahaja calon. Kerusi ada tetapi calon tidak ada.

“Sesiapa sahaja yang kata, saya ahli setia akan dipilih menjadi calon. Lepas menang, lompat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.