Pakar Ketenteraan Jawab Fitnah Jahat Konon Kem TUDM Sungai Besi Diserah Kepada China

Penutupan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sg Besi, Kuala Lumpur perlu dilihat secara holistik, bukan sahaja dari sudut nilai tanah berkenaan tetapi juga dari aspek keberkesanan serta ketahanan menghadapi ancaman musuh.

Konsultan Keselamatan dan Penyiasatan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Haniff berkata, Pangkalan Udara (PU) di Kuala Lumpur tidak lagi selamat berikutan kepesatan pembangunan ibu kota serta kepadatan penduduk yang begitu tinggi menyukarkan operasi strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pendedahan TUDM Kuala Lumpur kepada umum turut menyukarkan pihak TUDM untuk memberi perlindungan mantap sebagai kawasan operasi ketenteraan kerana terdedah kepada aktiviti pengintipan.

“PU Sendayan & 31 Rejimen Artileri Kem Tun Ibrahim, Kajang adalah antara tapak-tapak relokasi TUDM Kuala Lumpur. Penempatan di beberapa pangkalan udara yang ada adalah mengikut misi dan kesesuaian seperti yang dibuat di PU KL sebelum ini,” ujarnya dipetik blog beliau, Seademon Says.

Abdul Rahmat semasa forum “Pelaburan China ke Malaysia: Apa isu sebenarnya?” di UiTM Shah Alam, minggu lalu turut mendedahkan bahawa PU Sg Besi dibina diatas bekas tampak lombong bijih timah, kerap disambar petir lantas berlakunya litar pintas.

Diblognya, beliau menjelaskan, pangkalan TUDM di Kuala Lumpur juga terlalu usang dan tidak dinaiktaraf sejak mula dibina pada 1940-an.

Justeru, Abdul Rahmat menganggap pembinaan PU Sendayan yang lebih kondusif dan teratur – lengkap dengan kemudahan dan infrastruktur baharu – lebih sesuai dijadikan pangkalan angkatan tentera.

“Selain itu, dengan adanya PU Sendayan ini, TUDM akan dapat menempatkan pusat latihan TUDM di mana buat masa ini latihan-latihan tersebut berpecah dan ada yang dibuat di Subang, Alor Star serta di Kinrara.

“PU Sendayan ini apabila siap dibina dapat menyatukan TUDM yang akan meletakkan semua ini di bawah satu bumbung bagi tujuan uniformiti dan latihan manakala perintah dan kawalan akan menjadi lebih berkesan,” ujarnya.

Katanya, sejarah TUDM Kuala Lumpur juga tidak akan hilang berikutan seluruh artifak-artifak TUDM akan dipindahkan ke muzium TUDM.

PU Sg Besi berkeluasan 198 hektar dan tapak Tun Razak Exchange (TRX) seluas 70 ekar di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur merupakan dua kawasan yang kini dibangunkan oleh 1MDB menerusi syarikat pemaju, TRX City Sdn Bhd.

Dahulunya sebahagian daripada pembangunan dibeli oleh syarikat daripada China menerusi penjualan jualan saham (SSA) namun perjanjian tersebut terbatal dan 100% kawasan dikuasai oleh Kementerian Kewangan.

“TRX City, dengan mengambil kira kepentingan nilai tanah Bandar Malaysia, akan mengekalkan pemilikan penuh terhadap kawasan itu demi memastikan rakyat Malaysia meraih manfaat hasil pembangunannya.

“Adalah fitnah berniat jahat dengan mengatakan kem TUDM KL diserah kepada Cina dari China,” tambahnya.

Kata Abdul Rahmat, walaupun PU Kuala Lumpur tidak lagi mempunyai nilai, kerajaan tidak melupuskan sejarah TUDM begitu sahaja dan mengambil langkah wajar dalam usaha memulihara sumbangan diberikan sepanjang perkhidmatan PU berkenaan.

“Angkatan Tentera Malaysia memperolehi kemudahan-kemudahan yang jauh lebih baik dan bersesuaian setelah perpindahan ini berlaku.

“Malaysia bukan satu-satunya negara yang menutup pangkalan-pangkalan tentera. United Kingdom telah dan bakal menutup sebanyak 56 pangkalan-pangkalan tentera termasuk Woolwich Barracks dan Fort George yang berusia hampir 300 tahun dan kaya dengan unsur-unsur sejarah.

“Berbeza dengan Malaysia, penutupan pangkalan-pangkalan tentera di UK tidak melibatkan sebarang penggantian,” katanya lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.