Laporte Pertahanan Termahal City

Aymeric Laporte, pertahanan pasukan kebangsaan Perancis membayar yuran klausa tebus kontrak perpindahannya kepada Athletic Bilbao bagi menyertai Manchester City, kata kelab Sepanyol itu, semalam.

Laporte, 23 memiliki klausa dalam kontraknya bernilai AS$80 juta (RM311.05 juta) bersama Bilbao yang kemudian diaktifkan dalam usahanya untuk menyertai City yang dibimbing Pep Guardiola.

Sekiranya berjaya, dia akan menjadi pembelian termahal buat City.

Media Sepanyol dan British melaporkan Laporte akan diumumkan sebagai pemain City, hari ini dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu dikatakan sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Dengan harga RM311 juta, Laporte akan mengatasi pembelian termahal kelab itu sebelum ini iaitu Kevin De Bruyne 55 juta pound (RM300.04 juta) .

Kekerapan kecederaan yang melanda kapten, Vincent Kompany dan kurangnya kepercayaan Guardiola terhadap Eliaquim Mangala menyaksikan pengendali dari Sepanyol itu mahu menambah seorang lagi pertahanan tengah untuk mencabar tempat Nicolas Otamendi dan John Stones.

Laporte merupakan salah seorang pemain yang menjadi tonggak Bilbao sejak musim 2012-13 dan menjuarai Piala Super Sepanyol pada 2015 – Suzein Yana

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.