TMJ Harap JDT Rangkul Piala Sumbangsih

JOHOR BAHRU: Tengku Mahkota Johor (TMJ) menaruh harapan agar pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dapat menumpaskan Pahang pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, Sabtu ini.

 

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata walaupun skuad Harimau Selatan itu mendominasi perlawanan pada beberapa pertemuan dengan Pahang musim lepas namun nasib banyak memihak kepada skuad Tok Gajah.

 

“Saya merasakan 2015 adalah tahun yang berbeza bagi kedua-dua pasukan ini. Apa yang jadi pada tahun lalu saya tidak ambil kisah dan tengok apa yang boleh kita (JDT) kecapi pada tahun ini,” titah baginda.

 

Perlawanan Piala Sumbangsih ini akan membuka lembaran baharu kepada persaingan sihat dan positif antara kedua-dua pasukan ini, titah Tunku Ismail, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), kepada pemberita di sini hari ini.

 

“Rekod pertemuan lalu antara JDT dan Pahang bukanlah satu gambaran yang saya ambil sebagai satu masalah. Pahang adalah satu pasukan mantap yang selalu bernasib baik,” titahnya.

 

Baginda turut mengingatkan penyokong JDT supaya menjaga tingkah laku masing-masing sepanjang perlawanan berlangsung demi nama baik Johor.

 

Tunku Ismail menegaskan baginda mahu tahun ini menjadi tahun yang baik bagi pasukan JDT dalam segala aspek termasuk program pembangunan, persembahan pasukan serta barisan penyokong.

 

Dalam pada itu, Penasihat Keselamatan Stadium, Supt Abd Samad Salleh berkata sebanyak 1,000 anggota polis bersama-sama dengan 300 marshal akan ditempatkan di stadium bagi menjaga keselamatan penyokong.

 

Beliau berkata jika terdapat sebarang insiden, marshal akan membantu dan merujuk kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.