Syed Ali, Puad Zarkarshi Berhenti Mengampu UMNO

Kuala Lumpur – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mengutuk tindakan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkarshi yang menuduh tiga portal berita sebagai propembangkang kerana didakwa melaga-lagakan pimpinan UMNO.

 

Sebelum ini Syed Ali dan Puad Zarkarshi mendakwa tiga portal Malaysia Kini, The Malaysian Insider dan Free Malaysia Today sebagai media tali barut pembangkang menjadi punca berlakunya perpecahan dalam UMNO dan kerajaan.

 

Presiden PMSP, Ramesh Rao mempersoalkan kenapa Syed Ali dan Puad Zarkarshi tidak membuat aduan kepada Peguam Negara sekiranya tiga portal itu dikatakan membuat fitnah dan suka ‘spin’.

 

“Ini kerana sekiranya portal tersebut salah, Peguam Negara yang bertanggungjawab menyiasat. Saya nasihatkan ikut undang-undang yang betul. Ini sehingga sekarang peguam negara tidak mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan terhadap tiga portal itu,” katanya.

 

Beliau mengakui tiga portal itu memang sedang popular dan tidak menolak semua pegawai-pegawai kerajaan membaca dan mengambil perhatian terhadap tiga portal tersebut.

 

Sekiranya hanya menuduh portal tersebut membuat fitnah tanpa membaca isi kandungan sebenar itu salah.

 

“Janganlah nak mengampu sangat. Orang sekarang sudah tidak suka kepada golongan yang mengampu dan terlalu mengagungkan pemimpin. Kita mahu tahu berita yang sebenar,” jelasnya.

 

Beliau juga berkata, disebabkan golongan UMNO yang suka mengampu inilah pada pilihanraya tahun 2008 UMNO hilang kuasa di empat negeri.

 

“Kita tak peduli, sekiranya UMNO salah tetap salah. Kalau berita yang disampaikan itu membina kita sokong,” tambahnya.

 

Ramesh juga tidak menafikan portal-portal masa ini memerlukan berita yang tepat dan panas untuk menarik minat pembaca kerana bagi meningkatkan pelawat mengakses ke dalam media sosial mereka.

 

“Namun jika berita yang disampaikan itu tepat, kita tak perlu tuduh mereka ‘spin’ atau memfitnah. Saya lihat portal seperti FMT tidak ‘spin’ dan sekiranya mereka pro pembangkang, mereka tidak akan menulis berita Barisan Nasional (BN),” jelas beliau.

 

Tegasnya, beliau berharap pemimpin UMNO berhenti mengampu dan jangan menuduh membabi buta tanpa melihat isi kandungan terlebih dahulu.

 

“Kita tak boleh terlampau taksub dengan UMNO sahaja. Kita juga kena tahu apa yang berlaku di pihak pembangkang dan suara pembangkang mengenai BN,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.