Subramaniam Setuju Untuk “Berdiam Diri” Atas Permintaan Najib

Kuala Lumpur – Bagi menghormati permintaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam bersetuju untuk “berdiam diri” buat sementara untuk menangani kemelut parti yang kian meruncing.

 

Dr Subramaniam berkata, beliau telah menyampaikan permintaan Najib kepada semua pemimpin MIC di semua peringkat, termasuk Jawatankuasa Ketua Bahagian, Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC, dan mereka bersetuju untuk mengadakan moratorium.

 

“Pagi ini Najib hubungi saya dan meminta semua pihak dalam parti supaya mengamalkan moratorium bagi memberi ruang masa kepada beliau untuk menyelesaikan kemelut MIC.

 

“Kami menghormati dan menyokong permintaan beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana tampil ke hadapan bagi menyelesaikan krisis dalaman ini,” katanya pada sidang berita di sini, pada Khamis.

 

Turut hadir Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) P.Kamalanathan, Ketua Pemuda C.Sivarraajh dan Ketua Wanita M.Mohana.

 

Dr Subramaniam , yang juga Menteri Kesihatan berkata beliau turut membangkitkan isu siapa yang harus menguruskan parti itu buat sementara waktu ekoran arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menyatakan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti bagi 2013 adalah tidak sah, di dalam perbualannya dengan Najib melalui telefon.

 

Beliau berkata pihaknya juga akan membawa resolusi yang dicapai dalam mesyuarat yang dihadiri oleh sebahagian daripada kepimpinan tertinggi MIC, termasuk 90 daripada 120 ketua bahagian, pada Sabtu lepas, iaitu supaya CWC bagi 2009-2013 dipilih untuk menguruskan parti itu untuk tempoh sementara sehingga CWC baharu dipilih dalam perjumpaannya dengan Najib nanti.

 

Beliau yakin Perdana Menteri peka terhadap “suara sebenar’ akar umbi parti itu.

 

Beliau turut menegaskan semua pihak dalam MIC akan bekerjasama dengan penuh harapan satu penyelesaian yang memuaskan dapat dicapai dengan kadar segera bagi memastikan MIC dapat kembali aktif dalam pentas politik negara.

 

Ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Datuk Seri G. Palanivel bahawa beliau dan Palanvel akan berdiam diri dalam menyelesaikan krisis dalam parti itu, katanya:

 

“Saya pun baca kenyataan beliau (Palanivel). Masalah ini adalah masalah dalaman parti dan bukannya persaingan antara Presiden dan Timbalan Presiden.”

 

Kemelut MIC bermula pada 5 Dis lepas apabila ROS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan pada pemilihan dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.

 

ROS turut menasihatkan MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan agung tahunan sehingga isu itu diselesaikan.

 

Krisis dalaman parti itu menyaksikan pelbagai reaksi berbeza pemimpin-pemimpin parti itu sehingga mencetuskan kemelut dalam parti itu tanpa sebarang jalan penyelesaian dicapai sehingga hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.