Sasaran Penurunan 20 Peratus Harga Kereta Boleh Dicapai

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin sasaran penurunan harga kereta sebanyak 20 peratus pada akhir 2017 boleh dicapai, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Beliau berkata purata harga semua model dan varian kereta di negara ini sudah turun sebanyak 12 peratus sejak 2013.

 

“Pada 2013, purata harga kereta berkurangan sebanyak lima peratus, dan tahun lalu ia terus turun tujuh peratus, memberi manfaat kepada 72.5 peratus pembeli,” katanya pada taklimat perkembangan terkini Dasar Automotif Negara (NAP) 2014 di sini, hari ini.

 

Beliau berkata perbandingan itu ialah antara harga atas jalan yang baharu dan sebelumnya.
Mengenai NAP, beliau mengulangi bahawa objektif utama dasar itu adalah mengubah Malaysia menjadi hab kenderaan cekap tenaga (EEV) ASEAN menjelang 2020.

 

“Objektif lain adalah membangunkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan dan teknologi berkaitan seperti kecekapan bahan api, bahan material ringan, telematik, perkakasan dan reka bentuk komponen,” katanya.

 

Menyebut contoh penurunan harga kereta, beliau berkata Perodua mengurangkan harga Myvi sebanyak 11 peratus, Proton sebanyak 13 peratus bagi Proton Saga, dan Honda sebanyak 17 peratus bagi ‘Jazz’. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.