Pengagihan Perlukan 6 – 12 Bulan

KUALA KRAI 29 Jan. – Pengagihan bantuan barangan bernilai RM40 juta daripada Biro Kebajikan UMNO kepada 50,000 keluarga mangsa banjir di negeri ini akan mengambil masa antara enam bulan sehingga setahun.

 

Pengerusi biro tersebut, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, setiap keluarga akan menerima 11 jenis barangan seperti periuk, tilam, peralatan elektrik yang bernilai kira-kira RM2,000.

 

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk mengagihkan barangan ini dalam tempoh tersebut, kita tak boleh agihkannya secepat mungkin kerana melibatkan penduduk yang masih tidak ada rumah, kalau tidak ada rumah lagi kita hendak hantar barangan ini ke mana.

 

“Barangan ini bukan datang selonggok untuk 50,000 orang, sebagai contoh hari ini kita bawa untuk 8,000 dahulu dan agihkan kepada bahagian untuk disimpan di stor bahagian.

 

“Kita ada garis panduan untuk agihkan barangan ini sebagai contoh Wanita UMNO akan bawa periuk, kuali dan dapur manakala Pemuda UMNO bawa tilam sebab kena angkut dengan kenderaan pacuan empat roda, semua ada peranannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa-Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.