Emma, Zizan Main Wayang

Kuala Lumpur: “Buat masa sekarang, apa yang terbaik biar saya tidak keluarkan apa-apa komen dulu sehingga dapat jawapan. Bila sudah dapat nanti, baru saya akan bercerita lebih lanjut.”

 

Itu kenyataan pelakon Emma Maembong mengenai teka-teki status sebenar hubungannya dengan pelawak Zizan Razak yang dilaporkan bertaut semula, tetapi diragui pihak tertentu yang menganggap ia sekadar ‘lakonan’ untuk mengaburi mata peminat.

 

Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 23, berkata, dia tidak menolak desas-desus yang mendakwa kononnya mereka ‘berpura-pura’ bercinta semula sengaja dicetuskan pihak tertentu untuk memburukkan keadaan.

 

Justeru, Emma berkata, pendekatan terbaik yang wajar diambil ketika ini mendiamkan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang hanya akan merumitkan lagi konflik terbabit.

 

“Banyak sangat benda yang timbul satu demi satu, sampaikan saya tidak tahu nak bagi komen atau kenyataan sekarang. Saya tidak mahu apa yang saya cakap nanti memburukkan lagi keadaan.

 

“Mengenai dakwaan kononnya kami ‘berlakon’ hubungan ini baik semula, rasanya biarlah saya tidak komen apa-apa dulu. Belum sampai masa yang sesuai lagi, nanti baru saya cakap,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

 

Difahamkan, kemesraan pasangan itu selepas Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 31, mengumumkan hubungan mereka bertaut semula beberapa minggu lalu mencetuskan spekulasi baru apabila pihak tertentu mendakwa ia hanya ‘lakonan’ dan ‘wayang’ daripada mereka.

 

Sumber mendakwa, spekulasi kononnya mereka sekadar ‘bermain wayang’ muncul bersama di majlis hiburan dan di tempat awam disebarkan pihak tertentu bagi memburukkan keadaan.

 

Terdahulu, hubungan pasangan ini dilaporkan berakhir apabila Emma mengesahkan kepada Harian Metro pada 7 Januari lalu perpisahan itu berlaku kerana sudah ditakdirkan mereka tiada jodoh.

 

Bagaimanapun, Emma mahupun Zizan terus berdolak-dalik mengenai sebab sebenar perpisahan itu.

 

Zizan pula dalam kenyataannya kepada akhbar ini selang sehari kemudian enggan menerima keputusan Emma mengakhiri hubungan mereka. Malah, anggota kumpulan Virus itu tidak akan mengalah atau berputus asa untuk menawan hati kekasihnya semula.

 

Baru-baru ini, satu sumber lain memberitahu, perpisahan itu dipercayai berpunca daripada kecurangan Zizan yang dihidu Emma.

 

Susulan konflik hubungan mereka, pelakon Kamal Adli turut sama terheret dan dikaitkan sebagai punca Emma berubah hati terhadap Zizan pula. Namun, ia disangkal sekeras-kerasnya oleh Kamal.

 

Emma yang kini menjalani penggambaran siri Isteri Separuh Masa berkata, dia juga tidak mahu mengulas mengenai dakwaan wujudnya pihak ketiga yang sengaja mencetuskan spekulasi kononnya dia dan Zizan ‘bermain wayang’ selagi dia tidak mempunyai bukti lengkap.

 

“Buat masa ini biar dulu. Biar keadaan relaks dan tenang dulu, saya tidak mahu tersalah cakap nanti orang salahkan saya menuduh itu dan ini pula. Kalau saya cakap sekarang, takut memandai-mandai,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.