Bekas MB Perak Didakwa Memfitnah PM

Ipoh: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa semula di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas dilepaskan tanpa dibebaskan pada 13 Januari lalu atas pertuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kira-kira tiga tahun lalu.

 

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering didakwa memfitnah dengan menyatakan dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini, antara 9 malam dan 12 tengah malam pada 23 April 2012, suatu tohmahan dengan mengetahui perbuatan itu akan merosakkan nama baik Perdana Menteri.

 

Dia dituduh mengeluarkan kenyataan ‘Saya dikhabarkan Najib baru-baru ini panggil semua pemimpin angkatan tentera, semua pegawai kanan daripada darat ke laut ke udaranya. Najib bertanyakan kepada mereka seandainya Barisan Nasional tumbang maka buatlah sesuatu’.

 

Mohammad Nizar yang didakwa di hadapan Hakim Noor Hayati Mat bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bersama seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut semula pada 6 Mac depan.

 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim manakala Mohammad Nizar diwakili barisan peguam diketuai Hatim Musa.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.