Bekas Banduan Dipenjara Kerana Pecah Masuk Sekolah

Petaling Jaya – Seorang bekas banduan dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah sekolah dengan mencuri 10 telefon bimbit pada Oktober tahun lepas.

 

Majistret Surya Wati Shawal menjatuhi hukuman itu ke atas Mohd Saiful Nizam Mohd Ikbal, 29, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 29 Januari.

 

Saiful yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4, Kota Damansara, pada 7 malam 28 Oktober hingga 6 pagi 29 Oktober tahun lepas.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun dan boleh dikenakan denda.

 

Ketika rayuan, tertuduh memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan ke atasnya yang mengaku telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu, selain dia baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara atas pertuduhan dadah.

 

Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Bukhari Wan Mohd memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.