Ambank 
Sahkan Ashok Letak Jawatan

KUALA LUMPUR 29 Jan. – AMMB Holdings Bhd. (AmBank Group) mengesahkan Ashok Ramamurthy akan meletak jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dalam waktu terdekat ini.

 

Ramamurthy akan menyertai keluarganya di Melbourne sebagai sebahagian daripada peralihan te­rancang di mana beliau akan meneruskan kerjayanya sebagai eksekutif ka­nan di Australia and New Zealand Banking Group Ltd. (ANZ).

 

Ramamurthy menyertai AmBank Group daripada ANZ pada 2007 sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan menjadi pengarah urusan kumpulan sejak 2012.

 

“AmBank Group telah menca­tatkan kemajuan ketara di bawah pimpinan Ashok,” kata Pengerusi AmBank Group, Tan Sri Azman Hashim dalam satu kenyataan.

 

“Ini termasuk menstrukturkan semula jenama AmBank dalaman dan luaran, menaik taraf prasarana teknologi kami dan mengukuhkan kedudukan strategik kami.

 

“Kumpulan memiliki masa depan yang sangat cerah dan sebagai mewakili Lembaga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ashok di atas sumbangan beliau selama lapan tahun lepas,” katanya.

 

Bagaimanapun, Azman berkata, Ashok akan terus bertanggungjawab memimpin AmBank Group sehingga pelantikan Pengarah Urusan Kumpulan baharu dibuat.

 

“Apa yang penting, kehadiran Ashok juga mengukuhkan hubu­ngan antara AmBank Group dan ANZ yang terus menjadi rakan kongsi strategik jangka panjang yang komited bagi bank kami.

 

“Selepas lapan tahun bersama dengan AmBank Group, kami kini tiba pada tahap peralihan kepada Pengarah Urusan Kumpulan baharu dan Lembaga telah memulakan proses mengenal pasti pengganti.”

 

Sementara itu, Ramamurthy berkata, menjadi satu penghormatan besar baginya menjadi Pengarah Urusan AmBank Group dalam tempoh tiga tahun lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.