Agong Dan PM Solat Jumaat Dan Bertahlil Buat Penumpang MH370

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berangkat menunaikan solat Jumaat serta bertahlil untuk penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370, di Masjid Negara.

 

Turut serta Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

 

Lebih 5,000 jemaah turut serta bersolat Jumaat,dan bertahlil yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad yang bertujuan bagi mendoakan kesejahteraan semua penumpang MH370 dan keluarga mereka.

 

“Buat semua keluarga penumpang MH370, saya harap mereka bersabar dengan dugaan ini kerana Allah swt akan memberi ganjaran yang lebih besar kepada orang yang bersabar,” kata Syaikh Ismail kepada pemberita selepas majlis itu.

 

Semalam kerajaan mengisytiharkan kehilangan pesawat MH370 sebagai nahas, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal dianggap terkorban.

 

Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

 

Sebanyak 153 orang daripada penumpang merupakan warga China; 38 warga Malaysia; tujuh warga Indonesia dan enam warga Australia.

 

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemukan, malahan selepas misi mencari besar-besaran digerakkan di selatan Lautan Hindi, tempat ia dipercayai terjatuh selepas melencong daripada laluan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.