Pasangan Malaysia Ditahan Di Sweden Sihat – Timbalan Menteri Luar

STOCKHOLM – Pasangan suami isteri Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden kerana didakwa memukul seorang daripada empat anak mereka yang enggan solat, berada dalam keadaan baik dan sihat, menurut Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Hamzah melawat Azizul Raheem Awalludin dan isteri Shalwati Norshal yang ditahan di penjara negara ini sejak 18 Dis lepas.

Beliau berkata Azizul, Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden dan Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, telah bersetuju hak penjagaan anak-anak mereka dipindahkan kepada keluarga Islam yang ditentukan oleh Kedutaan Malaysia di sini.

Empat anak pasangan itu kini di bawah penjagaan keluarga bukan Islam yang dilantik pihak berkuasa Sweden sejak pasangan itu ditahan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada empat anak mereka yang tidak solat.

Hamzah berkata pemindahan anak-anak pasangan itu kepada keluarga Islam yang dilantik Kedutaan Malaysia akan dimuktamadkan masa terdekat, katanya kepada media Malaysia di sini pada Khamis.

Tahanan reman Azizul dan Shalwati dilaporkan sehingga Khamis (30 Jan) untuk membantu siasatan dan mereka akan dihadapkan di Mahkamah Daerah Solna bagi hakim membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan tempoh reman atau mendakwa mereka.

Hamzah berkata beliau turut membangkitkan isu penahanan pasangan suami isteri itu dalam pertemuannya dengan rakan sejawatan Frank Belfrage.

“Kerajaan Sweden sangat memberi kerjasama. Saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Beliau berkata dalam pertemuan itu juga mereka membincangkan isu dua hala Malaysia-Sweden yang antara lain meliputi aspek perdagangan dan ekonomi.

“Kami juga bersetuju diadakan lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.