Tabung Haji Mula Pindah Aset RM19.9 Bilion Kepada SPV, Alasan Stabilkan Kewangan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mula memindahkan aset daripada portfolio pelaburan ekuitinya kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semulanya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, TH bukan lagi menjadi pemegang saham utama dalam beberapa syarikat senaraian susulan pemindahan saham berkenaan, termasuk Malakoff Corporation Bhd (500 juta saham dipindahkan), UEM Sunrise Bhd (348.87 juta saham), IJM Corporation Bhd (227.31 juta saham), Hap Seng Plantations Holdings Bhd (66.07 juta saham), Dayang Enterprise Holdings Bhd (76.37 juta saham) dan Pintaras Jaya Bhd (11.35 juta saham).

Syarikat lain pula ialah Naim Holdings Bhd (24.83 juta saham dipindahkan), Integrated Logistics Bhd (20.58 juta saham), Eastern & Oriental Bhd (94.25 juta saham), Pelikan International Corporation Bhd (157.19 juta saham), Icon Offshore Bhd (103.61 juta saham) and TH Heavy Engineering Bhd (334.16 juta saham).

Awal bulan ini, dana jemaah haji itu memberi kenyataan bahawa ia telah mengenal pasti aset tidak berprestasi baik bernilai RM19.9 bilion untuk dipindahkan ke SPV yang dimiliki Kementerian Kewangan untuk menstabilkan kedudukan kewangannya.

Mengenai aset yang dikenal pasti itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, 80 peratus daripada nilai itu terdiri daripada ekuiti dengan kerugian yang belum direalisasikan melebihi 20 peratus, manakala baki 20 peratus lagi adalah dalam bentuk hartanah dan aset tanah dengan hasil di bawah 2.5 peratus.

Beliau berkata, TH bercadang untuk menyemak semula peruntukan asetnya bagi mengurangkan pendedahan terhadap ekuiti kepada 20 peratus.

Dilaporkan sebelum ini bahawa hampir 40 peratus aset TH merangkumi pelaburan dalam saham syarikat senaraian yang terdedah kepada turun naik pasaran kewangan.

TH menyasarkan untuk menyelesaikan langkah penstrukturan semula itu menjelang hujung bulan ini, yang mana dana jemaah haji itu akan memiliki lembaran imbangan bersih dengan aset menyamai liabiliti, kata Zukri dan menambah bahawa, TH setakat ini mempunyai RM57.1 bilion aset baik pada 11 Dis, 2018.

Berdasarkan lembaran imbangan distrukturkan, katanya, TH akan bersedia untuk bergerak maju bagi menjana keuntungan yang mampan dalam mengagihkan hibah (dividen) dan ia akan mematuhi sepenuhnya Akta Tabung Haji 1995. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.