Kerajaan Akan Pinda Akta Sekolah Tahfiz

KUANTAN – Kerajaan akan meminda Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan) bagi mengawal selia sekolah tahfiz dan sebahagian sekolah agama di seluruh negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh berkata, pindaan itu dibuat melalui sidang Dewan Rakyat bagi memperluaskan kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam mengawal selia sekolah agama.

Menurutnya, pindaan undang-undang itu turut bertujuan memasukkan definisi sekolah tahfiz sebagai sekolah agama Islam kerana ketika ini sekolah tahfiz tidak termasuk dalam kategori terbabit.

“Dalam hal ini, kita berharap kerajaan negeri akan meminda enakmen kawalan sekolah agama untuk memasukkan definisi sekolah tahfiz sebagai sekolah agama,” katanya.

Selain itu, Fuziah berkata, Majlis Tahfiz Negara (MAIN) akan ditubuhkan tahun depan bagi membolehkan usaha menyelaras dan mengawal selia sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri dengan lebih berkesan.

“Ketika ini, kita baru ada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dibawa kerajaan terdahulu dan sebagai langkah ke hadapan, kita akan mewujudkan Majlis Tahfiz Negara awal tahun depan.

Majlis ini akan menyelaras semua sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dan kita menyarankan semua sekolah tahfiz untuk berdaftar dengan MAIN,” katanya.

Beliau yakin kewujudan majlis ini bukan sahaja membolehkan kerajaan menjamin tahap keselamatan institusi tahfiz, tetapi juga menaik taraf aspek pensijilan dan penarafan sekolah tahfiz swasta.

Dalam pada itu, Fuziah memberitahu, penubuhan majlis itu selari penggubalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara berpandukan lima teras iaitu memantapkan aspek undang-undang dan penguatkuasaan, selain memperkenalkan modul institusi yang diiktiraf.

Katanya, ia termasuk memantapkan kurikulum institusi tahfiz supaya sesuai dengan pendidikan arus perdana, memperkasa urus tadbir institusi tahfiz dan mewujudkan sistem pengiktirafan serta pensijilan.

“Dalam rangka mencapai lima teras itu, kerajaan akan memperkenalkan tiga model, iaitu kurikulum bersepadu, tahfiz tura dan tahfiz kemahiran,” katanya.

Dalam perkembangan itu, Ahli Parlimen Kuantan itu juga menggalakkan pusat tahfiz mendaftar dengan kerajaan negeri bagi membolehkan institusi itu layak menerima bantuan.

Jelasnya, Belanjawan 2019 memperuntukkan RM50 juta bagi sekolah tahfiz bertujuan meningkatkan penarafan kurikulum disediakan di institusi berkenaan.

“Ia juga membolehkan kita memantau tahap piawaian kesihatan dan keselamatan di setiap institusi tahfiz swasta supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.