Jamal: Saya Antara Paling Sikit Dapat AP

Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan pemimpin pembangkang “berniat jahat” apabila membangkitkan isu permit import (AP) kenderaan yang diterimanya.

 

Pemimpin kontroversi akar umbi Umno itu berkata beliau baru tiga tahun aktif dalam politik, sedangkan telah 26 tahun berniaga dan 15 tahun terlibat dalam bidang automatif.

 

Menurut Jamal lagi, beliau terlibat dalam IBM Automotive setelah membeli saham syarikat itu kira-kira 10 tahun lepas.

 

“Saya dapat AP ini saya adalah pemegang kecil saham dalam syarikat IBM. Berapa peratus saya tak perlu sebut.

 

“Tetapi saya nak maklumkan saya ketika itu membeli saham daripada pengarah atau pemilik lama. Dalam syarikat itu hanya ada lima orang pemegang saham,” jelasnya.

 

 

Beliau juga menjelaskan bukan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu, sebaliknya hanya salah seorang pengarahnya.

 

Anggota Parlimen Segambut dari DAP Lim Lip Eng hari ini mempersoalkan AP Jamal yang didakwa diperoleh dari “tuan-tuan politiknya dalam Umno”.

 

“Kenapa tidak sebahagian daripada AP milik Jamal itu diberikan kepada usahawan muda lain,” tanya Lim.

 

‘Ada bakat boleh miliki apa juga’

 

Mengulas kritikan Lim itu, Jamal berkata ia tidak harus dipersoalkan, apabila mengambil kira pengalamannya, bukan kerana kaitan politik.
“Itu tidak boleh dipersoalkan, sesiapa yang ada bakat, sesiapa ada kemampuan boleh memiliki apa juga, macam saya,” katanya kepada Malaysiakini.

 

Berkaitan jumlah AP yang diperolehinya, Jamal tidak menyatakan jumlah sebenar, sebaliknya hanya menjawab beliau antara penerima paling sedikit, berbanding 97 syarikat lain.

 

Maklumat lanjut, katanya, boleh disemak dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

“Suruh dia orang semak dengan MITI tahun bila saya masuk, berapa saya dapat dan bandingkan dengan syarikat yang lain. Saya adalah di antara syarikat yang paling sedikit.

 

“jadi apa yang dipersoalkan adalah berniat jahat dan dengki dalam politik. Memang betul saya ada AP tetapi lihat berapa syer saya dalam syarikat itu,” katanya lagi.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.