Tolak Kemasukan Atlet Israel Tak Jejas Reputasi Malaysia – KJ

LANGKAWI – Kejayaan Malaysia menarik jumlah penyertaan teramai dalam Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) membuktikan reputasi negara tidak terjejas, biarpun telah menolak permohonan visa dua pelayar Israel ke kejohanan itu.

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kejohanan itu berjaya menarik penyertaan 433 pelayar dari 80 negara yang setakat ini berpuas hati dengan tahap penganjuran Malaysia.

 

“Hari ini kita tengok semua gembira, berpuas hati dengan penganjuran Malaysia. Tak ada pun yang disebut oleh wakil World Sailing (ISAF) kepada saya pun berkenaan isu itu, sebab mereka tahu dasar kita,” katanya selepas merasmikan kejohanan itu, malam ini.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan tidak membenarkan Yoav Omer dan Noy Drihan memasuki Malaysia, baru-baru ini, untuk menyertai kejohanan itu yang akan bermula esok.

 

Khairy berkata, keputusan itu bukan dibuatnya, tetapi diputuskan Kabinet mengikut dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

 

Khairy berkata, beliau tidak boleh menghalang ISAF untuk menjalankan siasatan berhubung keputusan Malaysia itu, namun persekutuan dunia itu sudah dimaklumkan mengenai pendirian negara berhubung penglibatan Israel dalam mana-mana kejohanan dunia yang dianjurkannya.

 

“Bila kita mendapat apa sahaja hak penganjuran, mereka sudah maklum kita ada dasar tertentu dan kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut (Israel) dan itulah satu daripada pertimbangan yang perlu dibuat mana-mana persatuan dunia yang mahu memberi hak penganjuran kepada Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden ISAF, Chris Atkins yang turut berucap dalam majlis perasmian itu berkata, kejohanan tahun ini merupakan yang terbesar pernah dicatatkan, berdasarkan jumlah pelayar dan negara yang menyertainya.

 

Katanya, kejayaan ini adalah hasil komitmen ditunjukkan pelayar-pelayar yang mengambil bahagian dan usaha keras Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), bagi memastikan kelancaran kejohanan ini.

 

“Kejohanan ini akan menjadi permulaan bagi perjalanan pelayar muda ini menuju Olimpik 2020 dan sebab itulah kami menggelar kejohanan ini sebagai satu permata,” katanya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.