NGO, Peniaga Vape Saman Kementerian Kesihatan, MBJB

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) semalam memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan tiga yang lain berhubung rampasan rokok elektronik atau vape milik anggota pertubuhan itu di Johor.

 

Ikhlas memfailkan saman itu melalui Tetuan Termizi & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

 

Selain Ketua Pengarah Kesihatan, pertubuhan itu turut menamakan Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Ketua Polis Negara sebagai defendan.

 

Saman itu dibuat susulan operasi bersepadu pihak berkuasa berkenaan pada 15 Dis lepas, yang menyerbu dan merampas vape milik beberapa anggota Ikhlas di premis perniagaan di Johor yang di bawah pentadbiran MBJB, hingga menyebabkan kerugiaan kira-kira RM400,000.

 

Dalam pernyataan tuntutan itu, Ikhlas memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan kesemua defendan menyerbu dan merampas rokok elektronik terdiri daripada peranti, mod dan cecair perisa milik anggota pertubuhannya, adalah tidak sah, salah dan batal.

 

Mereka juga memohon deklarasi mahkamah supaya pengharaman vape melalui penguatkuasaan peringkat negeri terutama melalui pihak berkuasa tempatan, MBJB adalah ultra vires dan bertentangan dengan undang-undang.

 

Selain itu, plaintif juga memohon deklarasi mahkamah supaya defendan-defendan dilarang menyerbu, merampas dan mengkompaun anggota pertubuhan itu berkaitan perniagaan atau kelengkapan vape, serta diarahkan memulangkan barang yang dirampas dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah dibuat.

 

Ikhlas mendakwa sehingga kini, tiada apa-apa pendakwaan dilakukan ke atas anggotanya, yang didakwa kononnya melanggari Akta Racun 1952 atas dakwaan cecair perisa vape mengandungi racun terkawal nikotin atau mengandungi dadah terlarang, yang dinafikan pertubuhan itu.

 

Plaintif berkata anggota pertubuhan itu hanya ditawarkan kompaun di bawah kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan tanda harga serta undang-undang kecil MBJB kerana berniaga tanpa lesen.

 

Pertubuhan itu mendakwa tindakan MBJB, yang enggan mengeluarkan lesen perniagaan kepada peniaga vape, adalah tindakan mala fide, melampaui batas kuasa undang-undang serta bertentangan dengan hak-hak warganegara yang dijaga oleh Perlembagaan Persekutuan.

 

Berikutan tindakan kesemua defendan itu, plaintif mendakwa mengalami kerugian dan kesusahan kerana telah membelanjakan modal selain stok yang dipesan daripada pembekal dalam negeri atau luar negara tidak dapat dijual dan berdepan risiko dirampas pihak penguat kuasa.

 

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk sebanyak RM1 juta, faedah serta relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.