Mara Digital Bukan ‘Eksklusif Bumiputera Sahaja’

KOTA BHARU – “Tak usah nak politikkan dan mengaitkan Mara Digital dalam isu perkauman,” tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa.

 

Beliau berkata, isu itu tidak  seharusnya dibangkitkan memandangkan premis tersebut membuka peluang perniagaan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

 

Pun begitu, Annuar memberitahu, oleh kerana hanya ada 32 unit kedai sedangkan ratusan permohonan, Mara memilih untuk mengutamakan Bumiputera terlebih dahulu.

 

“Kita buka pusat perdagangan ICT itu kepada usahawan yang berminat. Namun, sebab ada 32 unit kedai sahaja, kita mesti mengutamakan Bumiputera. Tapi, bukan bermakna itu eksklusif Bumiputera sahaja. Ada juga peniaga lain di situ. Tanggapan itu salah dan tidak bermaksud begitu.

 

“Cuma, kami hanya beri peluang kepada vendor-vendor Melayu yang berdepan dengan kekangan kewangan dalam memulakan perniagaan,” katanya selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di Ibu Pejabat Sinar Harian, semalam.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan penubuhan Mara Digital mewujudkan jurang perkauman apabila premis yang dibina di Bangunan Mara itu kononnya dimonopoli kaum Melayu sahaja.

 

Tambah Annuar, Mara dipertanggungjawabkan untuk membangunkan usahawan Bumiputera dan perkara itu ditetapkan dalam akta.

 

“Di Kuala Lumpur,  bukan mudah untuk usahawan memulakan perniagaan kerana sukar mendapatkan premis termasuk sewa mahal.

 

“Jadi, Mara membantu dengan cara yang tidak terlalu mahal, lokasi strategik dan sewa enam bulan percuma.

 

“Konsep perniagaan tak boleh mengaitkan perkauman, kalau guna asas perkauman, lingkup perniagaan kerana pelanggan terdiri daripada semua kaum,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.