SPRM Buat Penjelasan Tanggapan Negatif Dan Kekeliruan

Kuala Lumpur – Kebelakangan ini banyak pihak membicarakan isu rasuah dan siasatan kes-kes rasuah menerusi pelbagai platform. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan berkenaan proses siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya ini, khususnya berikutan perkara yang dibangkitkan oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen sejak seminggu yang lalu.

SPRM mengambil kesempatan ini untuk membuat penjelasan ekoran kekeliruan, tanggapan dan persepsi negatif yang muncul kononnya SPRM tidak menyiasat sesetengah kes.

Pertama, SPRM ingin menjelaskan bahawa kami akan memulakan kerja mengumpul maklumat tambahan secepat yang mungkin apabila menerima sesuatu maklumat atau aduan.

Begitu juga berhubung dalam isu yang dibangkitkan oleh Chong Chieng Jen, yang juga ahli Parlimen Kuching.

Sebaik sahaja maklumat awal dikumpulkan, Urus Setia Analisis Maklumat akan memutuskan sama ada maklumat yang diperoleh itu ada unsur rasuah ataupun sebaliknya.

Sekiranya ada unsur rasuah, ia akan dibawa ke perhatian Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM).

Sekiranya tidak ada unsur rasuah, maklumat tersebut akan disalurkan kepada mana-mana agensi kerajaan yang relevan untuk diambil tindakan oleh pihak mereka.

Pada masa yang sama maklumat itu juga difailkan di pihak SPRM, di mana jika memperoleh maklumat terbaharu kemudian kelak, tindakan susulan pasti akan diambil oleh SPRM.

Di peringkat JMM, JMM yang mengadakan mesyuarat setiap pagi (pada hari kerja), akan membuat pertimbangan dan keputusan sama ada terdapat merit untuk menjalankan siasatan (pursuable).

JMM akan mengambil tindakan berdasarkan syor yang dibuat oleh Urus Setia Analisis Maklumat di mana sekiranya terdapat asas, maka siasatan akan dijalankan dengan dibuka kertas siasatan.

Sekiranya maklumat tidak mencukupi, maka JMM akan mengarahkan agar dicari maklumat secukupnya kerana dalam keadaan tertentu, siasatan tidak boleh dijalankan hanya berdasarkan andaian semata-mata.

Proses ini sudah pasti akan memakan masa, dan tidak wajar menganggap bahawa SPRM tidak menyiasat maklumat yang disalurkan.

Dalam keadaan di mana siasatan dijalankan, laporan hasil siasatan akan dibawa kepada timbalan pendakwa raya untuk diputuskan sama ada boleh didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya.

Sekiranya Timbalan Pendakwa Raya berpandangan bahawa bukti tidak mencukupi dan perlu dijalankan siasatan lanjut, maka ia akan dihantar balik kepada SPRM untuk tindakan susulan sewajarnya.

Ketiga, SPRM juga akan memaklumkan kepada Panel Penilaian Operasi (PPO), salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, status kes-kes yang disiasat dari semasa ke semasa.

PPO juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan sesuatu kes yang tidak didakwa di mahkamah untuk disiasat semula jika keadaan memerlukan untuk berbuat demikian.

SPRM ingin menekankan di sini bahawa setiap maklumat dan aduan yang diterima tidak akan berakhir dengan siasatan atau pendakwaan di mahkamah walaupun sesetengah pihak mendesak atau mahu SPRM agar membuka kertas siasatan dan mendakwa pihak yang disiasat.

Kita perlu menerima hakikat bahawa setiap kes yang disiasat tidak semestinya akan berakhir dengan pendakwaan di mahkamah, dan jika pun didakwa di mahkamah, ada kemungkinan tertuduh bebas daripada tuduhan dan tidak didapati bersalah.

Keadaan ini bukan sahaja pernah disaksikan di Malaysia, malah di negara-negara lain yang mengamalkan sistem mahkamah terbuka.

Di sini, SPRM ingin menggariskan beberapa kes contoh untuk rujukan semua.

Pada awal tahun 2014, SPRM ada mengumpulkan maklumat awal susulan munculnya isu pembelian kereta Mercedes Benz oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kegunaan ketua menteri.

Tetapi Urus Setia Analisis Maklumat dan JMM memutuskan tidak ada merit untuk membuka kertas siasatan.

Justeru, SPRM tidak mengambil apa-apa tindakan lanjut.

Malah, pada tahun 2010-11, PPO juga pernah mengumumkan bahawa tiada asas untuk mendakwa ahli-ahli politik ternama seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik (bekas menteri besar Kelantan), Tan Sri Khalid Ibrahim (bekas menteri besar Selangor) dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (ketua Wanita Umno dan ketika itu anggota kabinet persekutuan).

Sejak ditubuhkan pada 2009, PPO telah mengarahkan lebih 50 kes yang diputuskan oleh timbalan pendakwa raya sebagai tiada merit untuk didakwa di mahkamah agar disiasat semula dan sekitar 20 peratus kes telah dibawa ke mahkamah.

Ini memperlihatkan kebebasan dan ketelusan SPRM.

Peranan PPO dan kebebasan fungsi PPO juga telah diiktiraf oleh badan dunia iaitu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dengan Dadah dan Jenayah (UNODC) pada tahun 2013.

Keempat, SPRM sekali lagi ingin memaklumkan bahawa SPRM sentiasa berpegang pada dasar akan meneliti dan menyiasat setiap aduan yang ada unsur rasuah dan penyelewengan.

SPRM juga tidak pernah bersikap selektif dalam menjalankan siasatan. Ini jaminan SPRM.

Justeru, SPRM juga ingin menegaskan bahawa tidak pernah mencari alasan untuk tidak menyiasat aduan dan maklumat yang diterima dari semasa ke semasa.

Oleh itu, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk mengatakan SPRM mahu mencari alasan untuk tidak menyiasat sesuatu kes dan bersikap selektif dalam menjalankan siasatan.

SPRM memerlukan kerjasama – maklumat terperinci untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan apabila menerima aduan atau maklumat.

Siasatan tidak boleh dijalankan atas andaian semata-mata.

Banyak kes aduan yang SPRM terima hanya berbentuk andaian. Aduan yang dimaksudkan ialah terdapatnya elemen rasuah dalam urusan tender.

Mereka hanya membuat andaian kerana apabila ditanya adakah mereka mempunyai bukti atau pengetahuan siapa yang terlibat seperti nama orang yang memberi atau yang menerima rasuah, selalunya mereka menyatakan tidak.

Dan, beranggapan bahawa menjadi tanggungjawab SPRM untuk mendapatkan maklumat tersebut. Malah apabila SPRM meminta nama sesiapa yang boleh membantu kami untuk mendapatkan butir mereka yang terlibat, sekali lagi mereka tidak dapat membantu.

Sebenarnya mereka hanya hendak SPRM mendapatkan sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu.

SPRM menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan komited untuk memerangi rasuah di negara ini.

Kita boleh melakukan perubahan sekiranya memahami proses kerja SPRM. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.