Sia-Siakan Banyak Peluang Punca MU Gagal Kutip 3 Mata Penuh

London – Manchester United gagal mengutip tiga mata penuh apabila mensia-siakan banyak peluang dalam pertemuan dengan Tottenham Hotspur di White Hart Lane, London.

Tottenham perlu berterima kasih kepada penjaga golnya, Hugo Lloris yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya daripada Manchester.

Peluang pertama Manchester hadir pada minit ke-22, apabila sepakan percuma pemain tengah, Juan Mata hanya singgah ke tiang gol dan bola muntah gagal disudahkan oleh Robin Van Persie.

Radamel Falcao mendapat peluang untuk menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-34, namun sepakan lemahnya mudah dibaca oleh Lloris.

Pada minit ke-40, Van Persie yang hanya berdepan dengan Lloris selepas menerima bola hantaran Mata gagal menyempurnakan peluang itu apabila tendangan lemahnya ditepis Lloris dengan kaki.

Di penghujung babak pertama, Lloris sekali lagi mengecewakan peminat Manchester apabila menggagalkan percubaan Ashley Young untuk mencipta nama sebagai penjaring.

Young yang membuat larian solo di sebelah kiri berjaya membuat tendangan lencong ke penjuru kanan pintu gawang Tottenham selepas berjaya menewaskan dua pertahanan. Bagaimanapun, Lloris berjaya menyelamatkan percubaan merbahaya itu.

Separuh kedua bermula dengan Manchester terus mengasak gawang lawan dengan beberapa percubaan merbahaya.

Pada minit ke-68, Mata sekali lagi mensia-siakan peluang daripada hantaran Rafael Da Silva yang masuk menggantikan Antonio Valencia apabila sepakannya melambung tinggi.

Keputusan tersebut menyaksikan Manchester United kekal ditangga ketiga liga dengan 36 mata manakala Tottenham Hotspur naik satu anak tangga ke tempat  keenam dengan 31 mata. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.