P-3C Orion Australia Kesan ‘Objek’ Di Perairan Pangkalan Bun Dekat Tengah Kalimantan

Jakarta – Kapal terbang P-3C Orion Australia mengesan “sesuatu” di perairan Pangkalan Bun dekat tengah Kalimantan di mana operasi udara besar-besaran sedang dijalankan mencari pesawat AirAsia Indonesia yang hilang, kata pihak berkuasa.

Ketua Marshall Komando Indonesia Dwi Putranto berkata kapalterbang Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) itu mengesan objek di kedudukan 100 batu barat daya Pangkalan Bun atau 700 batu dari lokasi terakhir Airbus A320-200 itu dikenalpasti sebelum hilang.

Portal berita Indonesia Detik.com memetik Dwi berkata pihak berkuasa masih tidak tahu apa objek itu.

“Pesawat kami dalam perjalanan ke lokasi itu sekarang dari arah utara. Kita tunggu perkembangan selanjutnya,” beliau memberitahu media di Jakarta hari ini.
Detik.com melaporkan keadaan di sana pada waktu itu berawan ketika Orion mengesan objek itu.

Pesawat tentera Indonesia yang dihantar ke lokasi itu termasuk dua Hercules, satu Boeing dan tiga helikopter.

Dwi berkata pesawat dari Singapura dan Malaysia juga sebahagian operasi mencari QZ8501 itu yang terputus hubungan dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura semalam bersama 162 penumpang di dalamnya.

Pihak berkuasa Indonesia pada waktu ini percaya ia terhempas ke dalam Laut Jawa akibat cuaca buruk kerana sebelum hilang, ia meminta kebenaran terbang dari paras lebih tinggi bagi mengelak kedatangan ribut.

Pesawat Orion itu juga merupakan satu daripada aset ketenteraan Australia yang terlibat mencari kapalterbang Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada Mac 7 dan masih belum dapat dijejaki hingga kini. – MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.