Operasi SAR Diteruskan, Tiada Maklumat Terkini Lokasi QZ8501

Subang – Operasi pusat penyelarasan membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Subang, diteruskan sejak pukul 7 pagi Isnin.

BERNAMA yang membuat tinjauan dimaklumkan oleh pihak pengurusan Jabatan Penerbangan Awam bahawa setakat ini tiada maklumat terbaru berhubung lokasi pesawat itu dan operasi SAR, yang diketuai kerajaan Republik Indonesia, sedang dijalankan terus.

Jurucakap jabatan itu tidak dapat memberi sebarang maklumat terbaru tentang operasi itu kerana ia kendalikan oleh Indonesia dan menasihati pihak media dan umum agar menyebarkan hanya berita sahih bagi mengelakkan kekeliruan.

Pusat kawalan trafik udara Indonesia terputus hubungan dengan pesawat AirAsia Indonesia QZ 8501 itu pada jam 7.24 pagi Ahad ketika berada di ruang udara negara itu semasa dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 155 penumpang iaitu 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi selain dua juruterbang dan lima anak kapal.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia telah mengerahkan tiga buah kapal dan sebuah pesawat C130 Hercules untuk membantu operasi berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.