MKN Perlu Kemaskini Laporan Perkembangan Terkini Mangsa Banjir Elak Timbul Kekeliruan – Shahrizat

Kuala Lumpur – Majlis Keselamatan Negara (MKN) didesak supaya mengemaskini data mangsa banjir dengan lebih kerap bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

Malah Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil juga mahu media rasmi sentiasa melaporkan perkembangan terkini mangsa banjir bagi memberi gambaran sebenar kepada orang ramai.

Jelasnya, Shahrizat, dengan adanya tindakan pantas ini, ia mampu menjawab tohmahan dan fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang disebarkan melalui media sosial seperti whatsapp.

“Saya hendak menggesa pihak MKN dan juga media rasmi untuk memberi maklumat terkini dengan lebih kerap kerana ramai sebenarnya hendak tahu apa yang berlaku.

“Saya khuatir nanti, kalau tidak ada pemberitahuan itu dengan satu hari banyak kali, ada orang yang akan percaya dengan fitnah yang diterima melalui Whatsapp

“Saya tengok Whatsapp sekarang ini terlalu aktif dan membawa kerosakan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat UMNO.

Mengulas lanjut perkara itu, Shahrizat mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mempercayai mesej yang disebarkan melalui Whatsapp.

Beliau juga meminta kerjasama daripada pihak media untuk sentiasa mengulangi peringatan tersebut supaya masyarakat sedar kesan daripada penyebaran mesej yang tidak disahkan.

“Ini amat mustahak sekali kerana sekarang ini macam-macam fitnah yang dikeluarkan di sosial media, ada yang mengambil kesempatanpun.

“Saya hendak minta kita ikhlas menjalankan tugas dengan penuh amanah dan kita hanya dengar dan percayai berita yang disalurkan melalui media rasmi sahaja.

“Saya harap pihak media akan sentiasa mengeluarkan peringatan ini kerana mungkin hari ini dia (masyarakat) ingat tetapi esok dia dapat Whatsapp yang betul-betul ngeri dia percaya,” katanya. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.