Misi Mencari Dan Mepyelamat QZ8501 Terjejas Sebab Cuaca Buruk Dan Ombak Besar

Jakarta – Pihak berkuasa Indonesia di wilayah Bangka Belitung khuatir usaha mencari dan menyelamat pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang akan terjejas disebabkan cuaca buruk dan ombak besar.

Portal berita Indonesia Kompas.com memetik jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat (SAR) Nasional (Basarnas) Bangka Belitung, Jhoni Supriadi di Pangkalpinang sebagai berkata, ombak setinggi dua meter melambatkan pasukan SAR daripada sampai ke lokasi di mana dipercayai pesawat itu terhempas.

Menurut laporan terdahulu, kapalterbang Airbus A320 yang hilang itu dipercayai terhempas di lokasi 03.22.46 Selatan dan 108.50.07 Timur, di perairan sekitar 80 hingga 100 batu nautika dari Belitung semasa terbang dari Surabaya ke Singapura pagi ini.

Kompas.com melaporkan dalam keadaan cuaca normal, ia mengambil masa 4 jam untuk sampai ke lokasi itu, manakala masa yang diambil akan berganda dalam cuaca buruk.
Satu pasukan Basarnas berlepas dengan kapal dari pelabuhan Pangkalbalam ke lokasi beserta beberapa pemberita.

Pesawat yang hilang itu dilaporkan berlegar-legar di atas ruang udara laut kerana mengelak ribut sebelum mengalami gegaran kuat, dan dipercayai terhempas ke dalam laut.

Pesawat AirAsia Indonesia, jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi ini waktu Indonesia.

Ia membawa 155 penumpang – 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi – 2 juruterbang dan 5 kru kabin terdiri daripada 155 warga Indonesia, 3 Korea Selatan, 1 Singapura, 1 Malaysia, 1 United Kingdom dan 1 Perancis. – MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.