Kehadiran Najib Rawat Kesedihan Mangsa Banjir

Parit – Keprihatinan pemimpin nombor satu negara melawat mangsa di pusat pemindahan banjir SMK Sultan Muzafar Shah 1 di sini, Isnin, sedikit sebanyak merawat kesedihan dan kegelisahan mereka.

Kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, disambut mangsa banjir yang berada di kantin sekolah berkenaan sejak awal lagi dengan perasaan gembira dan begitu teruja sekali.

Perdana Menteri sempat meninjau hidangan makanan tengah hari mangsa banjir sebelum masuk ke dewan bertemu mereka.

Najib meluangkan masa kira-kira 20 minit bertanyakan khabar dan mendengar rintihan mangsa.

Dalam pada itu ada antara mereka mengambil peluang bergambar bersama pemimpin nombor satu negara itu.

Pusat pemindahan itu menempatkan 658 mangsa daripada 168 keluarga.

Terdahulu, Najib meninjau mangsa banjir di Pusat Latihan Universiti Teknologi Mara Sungai Galah dan Maktab Rendah Sains Mara Pasir Salak.

Akmanita Jaafar, 40, dari Kampung Tua Batu 16, menyifatkan Najib seorang pemimpin yang sangat prihatin dengan nasib rakyat, lebih-lebih lagi mangsa yang terlibat banjir.

“Alhamdulillah…saya bersyukur sangat PM (perdana menteri) sudi datang tengok kami di sini, bertanya khabar dan bertanyakan bagaimana keadaan kami di sini,” kata suri rumah itu.

Sekurang-kurangnya kedatangan Najib ke situ dapat menghilangkan rasa risau mereka terhadap banjir yang melanda kawasan itu, katanya.

Najib meluangkan masa menziarahi bapa Akmanita, Jaafar Imam Samad, 85, yang terlantar akibat strok, juga ditempatkan di dewan sekolah sama.

Seorang lagi mangsa Sharifah Ibrahim, 57, berkata dia berasa bertuah kerana Najib sudi melawat dan mendengar keresahan mangsa banjir di pusat pemindahan itu.

“PM tanya macam mana keadaan rumah, bekalan makanan cukup ke tidak. Alhamdulillah semuanya cukup, layanan petugas pun sangat baik,” kata wanita itu dari Kampung Teluk Berdayung.

Beliau mengambil peluang memberitahu Najib mengenai keadaan rumahnya yang rosak teruk akibat bencana banjir.

Rosminishah Mohd Ariffin, 33, dari Kampung Lambor Kanan berkata walaupun mangsa di situ sedih dengan apa yang berlaku, mereka gembira dengan kehadiran perdana menteri.

“Kehadiran PM sebagai pengubat kesedihan kami di sini. Terima kasih PM,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Norafizah Saaid, 33, yang merupakan keluarga pertama dipindahkan ke pusat pemindahan itu, berkata dia tiada masalah dengan keperluan makanan di situ, cuma risau dengan peralatan seperti perabot yang masih berada dalam rumahnya, yang dilanda banjir kali ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.