Isteri Ayob Disahkan Meninggal Dunia

Gurun – Polis Kedah mengesahkan isteri Korporal Ayob Hashim, yang mengandung enam bulan, meninggal dunia akibat kecederaan dalam kejadian letupan di Gurun, 24 Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof berkata mangsa, Sharifah Azlina Hashim, 30, disahkan meninggal dunia pada jam 9.21 pagi ini, bersama kandungannya.

“Pihak hospital akan melakukan bedah siasat untuk memastikan sebab kematian, tetapi buat masa sekarang kami percaya ia disebabkan kecederaan yang dialami akibat letupan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Sharifah dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim sejak Rabu lalu selepas peluru roket antikereta kebal yang dipotong suaminya, meletup.

Ayob, anak perempuannya yang berusia lapan tahun, Nor Hidayu Shahirah dan anak jirannya Aqif Mohd Sharizal, 4, maut dalam kejadian itu.

Sementara itu anak mereka yang berusia lima tahun turut cedera dalam kejadian yang berlaku di Taman Ria Mesra, Gurun.

Zakaria berkata polis masih menjalankan siasatan bagaimana Ayob dapat membawa keluar peluru itu dari kem tentera, Kem Hobart.

“Pasukan kami akan bertemu dengan pasukan di kem untuk memastikan apa sebenarnya berlaku dan bagaimana peluru itu dapat dibawa keluar tanpa dikesan.”

Sebelum ini Zakaria dilaporkan berkata lebih daripada satu bom mungkin meletup dalam insiden berkenaan kerana ia meninggalkan lubang sebesar satu. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.